Sumbangan RM2,000 untuk keluarga pelajar USAS rentung dalam kemalangan

Abd Razak Mohd Ali
Mei 12, 2022 09:37 MYT
Sham Mat (kanan) ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada wakil USAS di Lanai Casuarina Kuala Kangsar pada petang Khamis. - Foto Astro AWANI
IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menghulurkan sumbangan peribadi RM1,000 untuk setiap keluarga penuntut Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang rentung dalam kemalangan di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara awal pagi Khamis.

Dalam masa sama, pihak Hotel Casuarina turut menyampaikan sumbangan dengan jumlah yang sama kepada setiap keluarga terbabit.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Perak, Datuk Sham Mat Sahat berkata, sumbangan itu, disamping bantuan-bantuan lain, adalah sebagai tanda simpati terhadap keluarga mangsa tragedi.

"Atas arahan Menteri Besar, kita membantu menyediakan penginapan dan makan minum dan kemudahan lain kepada keluarga-keluarga mangsa yang datang daripada jauh.
"Daripada Johor, daripada Terengganu, yang datang untuk menuntut jenazah anak-anak mereka kita tempatkan di Lanai Casuarina ini sampai selesai, sampai proses forensik semua selesai, kita tanggung semua," katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan itu kepada wakil USAS di Lanai Casuarina Kuala Kangsar pada petang Khamis.
BACA: 5 rentung dalam nahas kereta, treler di Lebuhraya Utara Selatan

Dalam kemalangan awal pagi Khamis, lima penuntut USAS rentung dalam nahas di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara.

Terdahulu, Naib Canselor USAS, Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi berkata, Kerajaan negeri Perak akan menanggung segala urusan menguruskan jenazah lima mangsa.
[TERKINI] Kebakaran | Lima rentung kereta terbakar
#pelajar USAS #rentung kemalangan #sumbangan #Saarani Mohamad