Sumbangan politik UKSB: 'Saya tidak terima, kalau nak tuduh tunjuk bukti' - Tun M

Abd Hadi Che Awang
Julai 25, 2022 21:23 MYT
Dr Mahathir berkata, beliau bersedia sekiranya dipanggil oleh mana-mana pihak termasuk SPRM untuk membantu siasatan. - Gambar/ Astro AWANI
LANGKAWI: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan menerima sumbangan politik berjumlah RM2.6 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).
Menurutnya, pihak yang membuat dakwaan berkenaan perlu mengemukakan bukti yang menunjukkan beliau benar-benar terlibat, dan tidak hanya 'bercakap' sahaja.
"Saya tidak terima (dana politik itu), kalau dia (saksi itu) boleh buktikan saya terima, (sila) tunjuk bukti, ini (dia) nak cakap (sahaja memang) senang, kita (semua sebelum ini) bila kata (Datuk Seri) Najib (Razak) seleweng RM6 bilion, kita ada bukti, (dia) sign cek, apa semua.
"Sekarang ini, kalau (cakap) ada orang bagi duit dekat saya, tunjuklah, siapa dia yang bagi, tanya dia mengaku atau pun tidak, dia bagi duit, saya tidak pernah terima duit daripada orang lain.
"Nama saya tak ada (disebut terima duit itu), kalau dia bagi kat orang lain, orang itu kata dia akan bagi kepada saya, yang itu lainlah (dan kena tunjuk bukti yang sebenar) , tetapi saya sendiri tidak dapat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas perjumpaan bersama pengusaha-pengusaha bot pelancong di Jeti Tanjung Rhu, di sini, pada Isnin.
BACA: UKSB beri sumbangan politik RM2.6 juta kepada Tun M - Saksi
Terdahulu, hari ini, seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa UKSB memberi sumbangan politik berjumlah RM2.6 juta kepada Dr Mahathir.
Bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun, 47, berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Dia berkata demikian ketika lejar di dalam komputer riba milik saksi itu dirujuk kepadanya semasa perbicaraan kes rasuah bekas timbalan perdana menteri itu berhubung projek Visa Luar Negara (VLN) hari ini.
Sementara itu, Dr Mahathir berkata, beliau bersedia sekiranya dipanggil oleh mana-mana pihak termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan.
"Ya (sekiranya dipanggil), saya bersedia, (tetapi nak buat dakwaan) tunjuk bukti yang saya ada (terima wang itu), (sebelum ini juga banyak) tuduhan yang dibuat (kepada saya) seperti saya ini cukup kaya, ada sampai berbilion-bilion ringgit simpan di Switzerland, simpan di Taiwan, tunjuklah bukti.
"(Macam saya cakap tadi) kita tunjuk bukti Najib pegang duit dan cek yang dia sign, (itu) semua ada, bank punya akaun pun ada, pergi cari (dapat tengok), (kalau nak) tengok 'bank account' saya, boleh, tak ada masalah," katanya.
#Tun Mahathir #dana UKSB #kes mahkamah #Zahid Hamidi
;