Sumbangan kepada sekolah: Ambil tindakan syarikat arak langgar pekeliling kerajaan - Putera MIC

Afiezy Azaman
Julai 24, 2024 06:00 MYT
Shatesh berkata, tindakan membenarkan syarikat arak memberi sumbangan kepada sekolah boleh mencemarkan reputasi sekolah sebagai pusat intelek dan pembinaan modal insan masa hadapan.
KUALA LUMPUR: Putera MIC Kebangsaan menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) tidak melayan permintaan mana-mana pihak untuk mengkaji semula garis panduan institusi pendidikan dalam menerima sumbangan atau mengecualikannya kepada sekolah vernakular.
Gesaan itu dibuat ketuanya, Shatesh Kumar Sangar susulan isu pemberian sumbangan dan tajaan oleh syarikat minuman keras kepada sekolah Cina.
"Putera MIC menyokong penuh gesaan Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh yang meminta agar Kerajaan mempertahankan polisi tidak membenarkan syarikat arak memberi sumbangan dana atau melakukan aktiviti di sekolah.
"Ini jelas menunjukkan sumbangan syarikat arak melanggar pekeliling KPM melalui surat pekeliling bertarikh 29 Mac 2018 yang menyatakan tatacara penerimaan sumbangan adalah tidak melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya kerana boleh jejaskan potensi murid dari segi rohani, emosi dan jasmani.
"Putera MIC tidak sama sekali akan berkompromi ke atas mana-mana pihak yang sewenang-wenangnya melanggar pekeliling KPM kerana tindakan ini merosakkan akhlak murid-murid," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Shatesh berkata, tindakan membenarkan syarikat arak memberi sumbangan kepada sekolah boleh mencemarkan reputasi sekolah sebagai pusat intelek dan pembinaan modal insan masa hadapan.
"Ini bukan soal derma kepada sekolah Cina atau mana-mana sekolah. Sebelum ia menjadi norma atau dinormalisasi, perkara ini harus diambil tindakan tegas oleh Kerajaan tanpa kompromi.
"Tindakan harus diambil serta-merta ke atas syarikat arak yang melanggar pekeliling Kerajaan," ujarnya.
Pada Selasa, Fadhlina memberitahu bahawa KPM tidak akan mengkaji semula garis panduan kepada institusi pendidikan dalam menerima sumbangan atau mengecualikannya kepada sekolah vernakular.
Menurutnya, semua sekolah perlu mengikuti panduan diberikan yang pada pendapatnya tidak terlalu sukar dipatuhi dan tidak mendatangkan mudarat.
Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memberitahu akan memberikan penjelasan kepada Kabinet berhubung isu sumbangan dan tajaan syarikat minuman keras kepada sekolah Cina.
Jelasnya, perkara itu tidak sepatutnya dijadikan isu kerana pembabitan syarikat minuman keras bagi membantu mengumpul dana untuk sekolah-sekolah Cina sudah berlaku sejak puluhan tahun lalu.
Sebelum ini, Pergerakan Pemuda UMNO menggesa kerajaan supaya mempertahankan polisi tidak membenarkan syarikat arak memberi sumbangan dana dana mahupun melakukan aktiviti di sekolah.
Dr Muhamad Akmal berkata, kerajaan tidak seharusnya mengubah polisi itu walaupun jika terdapat desakan daripada anggota Kabinet termasuk Loke.
#minuman keras #Kementerian Pendidikan #Putera MIC #sumbangan kepada sekolah