Sumbangan Kay Kim gubal Rukun Negara akan dikenang - Anwar Ibrahim
Astro Awani
Mei 28, 2019 12:14 MYT
Mei 28, 2019 12:14 MYT
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan sumbangan besar tokoh sejarawan dan ahli akademik, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim kepada negara akan terus dikenang.
Menerima berita pemergian mendiang dalam penuh sayu, Ahli Parlimen Port Dickson itu turut mengutus salam takziah buat keluarga mendiang.
"Saya mengutuskan salam takziah kepada keluarga mendiang dan semoga mereka tabah dan diberi kekuatan menempuh dugaan ini.
"Jasa dan pengorbanan mendiang yang membantu menggubal Rukun Negara akan terus dikenang rakyat dan negara," kata Anwar dalam kenyataan yang dimuatkan dalam laman Facebook beliau.
Turut berkongsi kedukaan atas pemergian Kay Kim ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Dalam entri di Twitter beliau, Mohamed Azmin berkongsi momen pertemuan beliau dengan mendiang dalam Dialog #MalaysiaBaru lebih setahun lalu.
"Berdukacita di atas pemergian sejarawan negara Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr Khoo Kay Kim. Masih segar dalam ingatan saya pertemuan kami ketika Dialog #MalaysiaBaru di Shah Alam lebih setahun kali.
"Takziah buat Puan Sri Rathi Khoo, Saudara Eddin Khoo dan keluarga," kata Mohamed Azmin lagi.
Kay Kim, 82, meninggal dunia akibat masalah paru-paru di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di ibu negara sekitar pukul 10.45 pagi tadi.
Anaknya, Eddin Khoo ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan berita kematian ayahnya itu.