Sumbangan Jakim untuk semua kaum, agama - Idris Ahmad

Abd Razak Mohd Ali
Februari 2, 2022 13:17 MYT
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad (kanan) meninjau kerja-kerja membaikpulih kawasan rumah yang terjejas akibat dipukul ribut ketika mengadakan lawatan di Kampung Tawas hari ini. - Foto BERNAMA
IPOH: Sumbangan Tabung Musa’adah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diberi kepada semua mangsa bencana, tanpa mengira kaum dan agama.
Ini kerana bencana yang berlaku tidak mengira agama, bangsa dan fahaman.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, ia juga sejajar dengan ajaran Islam yang menganjurkan umat supaya membantu golongan yang memerlukan.
"Kerana dalam Islam dia tidak mengehadkan dalam soal tolong menolong ini, tidak kira apa bangsa, apa agama kerana Islam diajar oleh Nabi kita, kita kena bantu orang yang susah, sama ada dia itu orang Islam atau bukan Islam.
"Itulah yang ditunjukkan oleh Nabi kita dalam membantu orang-orang Yahudi, zaman itu yang susah sekalipun, dia bantu, maka kita juga hidup dalam zaman hari ini pun, duduk dalam masyarakat majmuk, maka kita juga memberikan bantuan kepada mereka tanpa kita mengira sama ada apa agama mereka ataupun apa bangsa mereka," katanya.
Bencana | Bantuan Jakim tanpa mengira kaum, agama
Beliau ditemui pada majlis penyampaian sumbangan skuad Musa'adah Keluarga Malaysia kepada mangsa ribut di Ipoh, pada Rabu.
Menurutnya, bantuan tunai RM300 dan kotak makanan bernilai RM100 diberikan kepada semua mangsa yang terlibat dan kejadian puting beliung yang melanda beberapa kawasan di Ipoh.
Dalam kejadian lewat petang Ahad lalu, sebanyak 219 buah rumah dilaporkan terjejas dan ia dijangka bertambah kerana masih ada lagi laporan polis yang sedang dibuat.
Katanya, kaedah sama turut digunakan dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir besar yang melanda beberapa buah negeri sebelum ini.
#ribut #JAKIM #Idris Ahmad #Ipoh
;