Sumbangan ekonomi digital kepada KDNK dijangka melebihi 21 peratus pada 2022 - Lim Guan Eng
Hasimi Muhamad
Disember 30, 2019 14:37 MYT
Disember 30, 2019 14:37 MYT
Sumbangan ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dijangka meningkat melebihi 21 peratus menjelang 2022 berbanding 18.5 peratus pada 2018.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan juga sedang melabur sebanyak RM21.6 bilion dari tahun 2019 hingga 2023 bertujuan merancakkan ekonomi digital negara.
Jelasnya, ia bagi merealisasikan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).
“Seperti diumum dalan Belanjawan 2020, kerajaan akan membelanjakan RM450 juta untuk program e-Dompet dalam usaha menggalakkan penggunaan pembayaran digital di kalangan pengguna dan peniaga.
“Selain itu, kerajaan juga menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mendigitalkan proses perniagaan mereka dengan menyediakan insentif berjumlah RM3.7 bilion dalam tempoh lima tahun,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada penutup Festival Putrajaya LIFT 2019, di sini hari ini.
Lim menambah, kerajaan juga mempunyai skim jaminan bernilai RM6 bilion bagi menggalakkan automasi, digitalisasi dan penggunaan teknologi Industri 4.0.
Bagaimanapun katanya, ekonomi digital tidak seharusnya bergantung kepada infrastruktur dan program sahaja, sebaliknya melibatkan pasaran yang kompetitif.
Terdahulu, Kementerian Kewangan Malaysia menganjurkan Festival Putrajaya LIFT 2019 dalam usaha memperkasakan celik kewangan dan masyarakat digital.
Menerusi festival itu, pengunjung dipersembahkan dengan gabungan seni dan teknologi sebagai gambaran sektor kewangan masa depan.
#Belanjawan 2020
#ekonomi
#ekonomi digital
#KDNK
#Kementerian Kewangan
#Lim Guan Eng
#Malaysia
#Putrajaya