Sumbangan bantuan semata-mata tidak cukup untuk tangani kemiskinan - Muhyiddin
Bernama
Oktober 20, 2021 22:12 MYT
Oktober 20, 2021 22:12 MYT
KUALA LUMPUR: Bantuan berbentuk sumbangan semata-mata tidak dapat memutuskan rantaian ganas kemiskinan, sebaliknya peluang, inovasi dan integrasi boleh mengubah penerima bantuan ekonomi menjadi peserta dalam pemulihan ekonomi keseluruhannya.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah-langkah pelindungan sosial serta pelbagai rancangan perlu digabungkan menerusi usaha pembaharuan ekonomi berskala besar yang akan memulihkan ekonomi negara dalam semua sektor.
"Secara keseluruhannya terdapat banyak dimensi dan rancangan ke arah membasmi kemiskinan, bagaimanapun apa yang tetap penting adalah kekuatan menggembleng lebih banyak bantuan dengan dilengkapi fokus yang diperbaharui bagi memastikan bantuan sampai kepada sasaran yang tepat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian di sesi webinar maya Towards National Recovery and The Next Phase: Eradicating Hardcore Poverty by 2025, sempena hari antarabangsa pembasmian kemiskinan di sini hari ini.
Sementara itu Muhyiddin berkata kerajaan di seluruh dunia perlu bekerjasama rapat menangani impak COVID-19, terutama dalam aspek peningkatan kes-kes kemiskinan yang membimbangkan.
Beliau berkata kerajaan perlu menerima pakai, sekurang-kurangnya pendekatan bersama bergerak dalam landskap pasca COVID-19 global.
"Janganlah ada negara mengambil kesempatan daripada kerentanan ekonomi relatif dari negara lain dan jangan ada negara yang mendapat keuntungan dari penderitaan sesama negara," tambahnya.
-- BERNAMA