Sumbangan 2 juta vaksin: Ini hanya derma, saya tidak tahu mengapa ia jadi isu - Chee Kong

Ruzaini Zulkepli, Eleanor Michelle Patrick, Abdul Hafiz Mustadi
Mei 21, 2021 17:52 MYT
Jelas Chee Kong, dia menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menyiasat dakwaan tersebut dan enggan mengulas lanjut. - Foto Astro AWANI
KOTA KINABALU: Susulan isu dakwaan penipuan sumbangan bekalan vaksin COVID-19 kepada kerajaan Pulau Pinang, individu yang dikaitkan dengan sumbangan itu, Yong Chee Kong tampil memberikan penjelasan hari ini.
Chee Kong yang berkata dia merupakan wakil sebuah syarikat berpangkalan di Hong Kong sekali lagi menafikan dakwaan bahawa sumbangan tersebut adalah satu bentuk penipuan atau 'scam' seperti didakwa sesetengah pihak.
Dia bagaimanapun menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menyiasat dakwaan tersebut.
"Sebenarnya, saya tiada apa yang mahu dicakap mengenai ini, hanya tidak adil untuk saya sahaja.
"Saya rasakan sangat tidak adil kepada saya kerana ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Apa yang beliau katakan bahawa saya menipu atau buat itu ini, adalah palsu dan tidak betul.
"Saya dipanggil pihak polis bagi diambil keterangan daripada saya dan sebenarnya ini adalah sumbangan biasa.
"Ini hanya derma, saya tidak tahu mengapa terjadi isu ini. Lebih baik perkara ini serahkan kepada peguam saya untuk dibincangkan," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini pada Jumaat.
Sementara itu, menurut peguamnya, Angela Ubu, pada ketika ini, tidak ada perancangan daripada pihak mereka untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak.
"Jadi, biarkan polis lakukan kerja mereka dan Encik Yong di sini sangat bekerjasama, jadi untuk setakat ini sahaja boleh kami katakan.
"Kami akan bekerjasama apa yang sepatutnya diberikan kepada mereka, jadi tiada isu dalam perundangan dan sebagainya," katanya.
BACA: Sumbangan 2 juta dos vaksin: Syarikat nafi cuba 'scam' kerajaan Pulau Pinang
BACA: Isu sumbangan vaksin: Yong Chee Kong tampil beri keterangan kepada polis
Terdahulu, Chee Kong telah dipanggil polis ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kota Kinabalu pagi tadi untuk diambil keterangan sebelum selesai di sebelah petangnya.
Semalam, Astro AWANI telah mendapatkan reaksi daripada Chee Kong yang mendedahkan dia terkejut apabila dimaklumkan media mengenai perkara itu susulan pendedahan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Khairy berkata tawaran sumbangan dua juta dos vaksin Sinovac kepada kerajaan Pulau Pinang seperti yang dilaporkan sebelum ini merupakan satu penipuan (scam) dan perkara itu kini dalam siasatan.
COVID-19 | Belum ada bukti sumbangan vaksin oleh yayasan - KJ
#vaksin #Yong Chee Kong #Khairy Jamaluddin #scam #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #COVID-19 #Sinovac
;