Sultan Terengganu seru semua pihak bantu bangunkan tanah wakaf
Bernama
April 24, 2016 15:53 MYT
April 24, 2016 15:53 MYT
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru semua pihak supaya tampil membantu Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (Maidam) membangunkan tanah wakaf yang berpotensi dimajukan di negeri itu.
Baginda bertitah setakat ini, terdapat 704 lot tanah wakaf dengan pelbagai tujuan antaranya wakaf tapak masjid; surau; tapak kubur; wakaf kepada anak yatim dan pendidikan agama di Terengganu.
Sultan Terengganu bertitah daripada tanah-tanah wakaf itu, terdapat tanah yang berpotensi dimajukan, namun ia tidak dapat dilaksanakan memandangkan Maidam kekurangan dana bagi tujuan tersebut.
"Beta mengharapkan supaya ada pihak seperti anak syarikat kerajaan negeri, swasta atau institusi kewangan yang sudi tampil untuk bersama Maidam bagi membangunkan tanah-tanah wakaf yang berpotensi untuk dimajukan dan bersedia untuk bekerjasama dengan menyumbangkan dana bagi pembangunan hartanah wakaf.
"Ini demi mempertingkatkan taraf ekonomi dan kehidupan rakyat di negeri ini terutamanya rakyat miskin," titah baginda ketika merasmikan Persidangan Wakaf Senusantara Tahun 2016 di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Sultan Mizan bertitah Maidam pada masa ini juga sedang mempergiatkan usaha mempromosi wakaf tunai dalam umat Islam di negeri ini.
Baginda bertitah dana wakaf tunai tersebut akan ditukar dengan aset kekal melalui pembangunan tanah wakaf sedia ada, pembelian aset yang strategik dan bernilai komersial seperti pembelian rumah kedai, pejabat atau membangunkan tanah perkilangan dan perladangan.
Islam menggalakkan umatnya untuk bersedekah dan menginfaqkan harta terutama untuk tujuan wakaf, titah baginda.
Baginda bertitah wakaf bukan hanya suatu ibadat untuk memperolehi pahala semata-mata tetapi ia juga merupakan instrumen bagi pengukuhan ekonomi dan sosial umat Islam.
"Secara jelasnya dengan berwakaf ia secara tidak langsung akan dapat memartabatkan agama dan juga dapat mempertingkatkan sosio ekonomi umat Islam sehingga dapat mengurangkan kemiskinan dalam kalangan umat Islam," titah baginda.
Sementara itu, Yang Dipertua Maidam Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail yakin pihaknya dapat membangunkan 704 lot tanah wakaf bernilai RM111 juta dalam tempoh lima tahun lagi berdasarkan sambutan positif terhadap wakaf tunai yang dilancarkan sejak Januari lepas.
"Memang agak sukar untuk membangunkan tanah wakaf itu mengikut hasrat pewakaf kerana kita kekurangan dana, namun dengan adanya wakaf tunai ini, ia boleh digunakan untuk memajukan tanah wakaf tersebut mengikut kesesuaian.
"Sejak Januari lalu, kita berjaya mengumpul sebanyak RM850,000 wakaf tunai dan ia hanya baru dibuka untuk petugas Maidam sahaja, jadi kita akan promosikan kepada kakitangan kerajaan, swasta dan orang ramai," katanya kepada pemberita selepas perasmian persidangan itu.
Katanya Maidam akan bekerjasama dengan Yayasan Waqaf Malaysia untuk melaksanakan pemotongan gaji kakitangan kerajaan di peringkat persekutuan yang mahu menyumbang untuk dana wakaf tunai Terengganu melalui Perbendaharaan Negara.
Beliau berkata kesemua lot tanah itu diwakafkan antaranya untuk masjid, surau, tanah kubur dan untuk anak yatim.