Sultan Selangor zahir ucapan takziah atas pemergian Tun Salleh Abas

Astro Awani
Januari 16, 2021 17:16 MYT
Mohamed Salleh meninggal dunia pada jam 3.20 pagi tadi, akibat pneumonia.
SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan takziah kepada waris dan keluarga bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dr Mohamed Salleh Abas yang meninggal dunia pagi tadi.
Baginda berdua berharap keluarga Allahyarham terus tabah dan reda di atas ketentuan ini dan mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin.
Sultan Sharafuddin menyifatkan Mohamed Salleh sebagai seorang yang amat berwibawa dan berprinsip serta sentiasa mengutamakan Perlembagaan Negara dalam setiap tindakannya.
BACA: Tun Salleh Abas meninggal dunia
"Menurut Tuanku Sultan, Allahyarham Tun Salleh adalah seorang pakar undang-undang Malaysia yang hebat dan seorang berprinsip yang berjuang untuk kebebasan badan kehakiman yang melindungi hak dan keistimewaan termaktub di dalam Perlembagaan.
"Beliau mempertahankan kedaulatan undang-undang dan pemisahan kuasa di bawah Perlembagaan," kata kenyataan yang dimuat naik di laman Selangor Royal Office di sini hari ini.
Mohamed Salleh meninggal dunia pada jam 3.20 pagi tadi, akibat pneumonia.
Jenazah Mohamed Salleh 91, yang juga Pengerusi as-Salihin Trustee Berhad selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim di Jalan Pusara, Kuala Terengganu pukul 10.40 pagi tadi.
AWANI Ringkas: Jenazah Tun Dr Mohamed Salleh selamat disemadikan
#Tun Salleh Abas #meninggal dunia #terengganu #Sultan Selangor #Tengku Permaisuri Selangor #ucapan takziah
;