Sultan Selangor zahir takziah kepada keluarga Allahyarham Jamali Shadat
Bernama
Februari 4, 2021 00:16 MYT
Februari 4, 2021 00:16 MYT
SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham pelawak komediri veteran, Datuk Jamali Shadat.
Menerusi hantaran dalam laman Facebook rasmi Selangor Royal Office hari ini, baginda berdua berharap keluarga Allahyarham terus tabah dan reda selain mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT serta ditempatkan bersama para solihin.
Menurut hantaran itu, Allahyarham yang merupakan anak jati Bukit Kapar, Klang telah banyak mencurahkan jasa dan bakti dalam bidang seni serta meninggalkan legasi membanggakan untuk diteladani generasi baharu.
Jamali meninggal dunia semalam di rumahnya di Kampung Sungai Pinang, Pelabuhan Klang pada umur 78 tahun.
Allahyarham merupakan pelawak komediri terkenal pada era 1970-an yang berbakat dalam melontarkan suara membawa watak 'Atan' dan datuknya 'Atok' serta rakan kanak-kanak itu dalam nada berbeza mengikut bahasa slanga rakyat Malaysia.
-- BERNAMA
#Sultan Sharafuddin Idris Shah
#Sultan Selangor
#Jamali Shadat
#Tengku Permaisuri Norashikin
#Klang
#meninggal dunia
#Facebook