Sultan Selangor zahir rasa sedih atas pemergian adiguru kraf ukiran halus

Bernama
Disember 20, 2024 16:00 MYT
Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa sedih atas pemergian Tokoh Kraf Negara Norhaiza Noordin. -Facebook Selangor
SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa sedih dan dukacita atas pemergian Tokoh Kraf Negara Norhaiza Noordin yang meninggal dunia semalam.

Ringkasan AI
  • Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa sedih atas pemergian Tokoh Kraf Negara Norhaiza Noordin, seorang pengukir kayu tradisional yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan menerima Anugerah Tokoh Kraf Negara pada 2022.
  • Allahyarham Norhaiza menghasilkan banyak ukiran kayu yang ditempah khas oleh Sultan Selangor, termasuk keris dan rehal, serta menghasilkan ukiran untuk hiasan dalaman Dewan Pusat Pengajian Islam di Universiti Oxford.
  • Norhaiza meninggal dunia akibat masalah jantung pada usia 61 tahun dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja, Jertih, Terengganu. Sultan Sharafuddin turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Menurut hantaran di Facebook Selangor Royal Office, baginda sentiasa kagum dengan kebolehan dan ketelitian Allahyarham sebagai seorang pengukir kayu tradisional hingga dikenali di peringkat antarabangsa dan menerima Anugerah Tokoh Kraf Negara pada 2022.
"Semasa hayatnya, Allahyarham banyak menghasilkan ukiran kayu yang ditempah khas oleh Tuanku Sultan khususnya keris serta rehal yang kini dipamerkan sebagai koleksi peribadi baginda di Istana Alam Shah, Klang.
"Antara karya terulung Allahyarham ialah apabila diminta menghasilkan ukiran untuk hiasan dalaman Dewan Pusat Pengajian Islam di Universiti Oxford, United Kingdom," menurut hantaran itu.
Hantaran itu turut diiringi beberapa gambar Sultan Sharafuddin bersama Allahyarham Norhaiza.
Baginda turut berkenan menzahirkan ucapan takziah kepada waris serta keluarga Allahyarham dan mendoakan agar roh Adiguru Kraf Ukiran Halus itu ditempatkan dalam kalangan para solihin.
Norhaiza, 61, yang menghembuskan nafas terakhir pada 6.13 pagi akibat masalah jantung di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II di Kota Bharu, Kelantan meninggalkan seorang isteri dan dua anak, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja, Jertih, Terengganu petang semalam.
-- BERNAMA
#Sultan Selangor #Sultan Sharafuddin Idris Shah #pemergian Tokoh Kraf Negara #Norhaiza Noordin
;