Sultan Selangor zahir kekecewaan isu GISB lewat ditangani
Madiha Abdullah
September 21, 2024 13:58 MYT
September 21, 2024 13:58 MYT
KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kekecewaan susulan kegagalan pihak berkuasa menangani kegiatan Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd yang telah berlarutan dalam tempoh yang lama.
Ringkasan AI
- Sultan Sharafuddin Idris Shah kecewa dengan kegagalan pihak berkuasa menangani kegiatan GISB yang berlarutan lama, disebabkan kelemahan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang oleh agensi agama.
- Baginda telah memanggil pihak berkuasa agama dan polis untuk mendapatkan maklumat lengkap dan mengambil langkah segera, termasuk menutup rumah amal dan sekolah Islam di bawah GISB.
- Baginda menasihati ibu bapa untuk menyemak latar belakang sekolah atau pusat penjagaan amal sebelum menghantar anak-anak mereka, bagi memastikan mereka dididik dan dijaga dengan sewajarnya.
Dalam satu kenyataan, baginda bertitah, semua pihak harus terbuka untuk menerima hakikat bahawa kelewatan ini berpunca daripada kelemahan aspek pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang oleh agensi agama, yang akhirnya menyebabkan situasi menjadi serius dan tidak terkawal.
"Menurut laporan Beta terima, kebanyakan rumah amal di bawah GISB yang terbabit di dalam siasatan sudah lama beroperasi di beberapa negeri khususnya Selangor tanpa pendaftaran seperti mana keperluan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
"Kita perlu menerima hakikat bahawa kelewatan menangani perkara ini menunjukkan kelemahan dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang oleh agensi-agensi agama terhadap rumah amal dan sekolah agama Islam berkaitan dengan GISB.
"Ia termasuk rangkaiannya hingga menyebabkan perkara ini menjadi begitu serius dan tidak terkawal," titah baginda.
Menerusi kenyataan itu, baginda bertitah telah memanggil Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), dan Ketua Polis Selangor bagi mendapatkan maklumat lengkap serta mengenal pasti langkah segera yang boleh diambil.
Baginda juga telah menitahkan agar semua agensi agama Islam di Selangor termasuk MAIS, JAIS, Jabatan Mufti Selangor dan Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor untuk bekerjasama dengan PDRM bagi memastikan semua pihak terlibat diheret ke muka pengadilan.
Dalam masa yang sama, baginda turut menitahkan semua rumah amal dan sekolah Islam di bawah kendalian GISB ditutup, dengan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor digesa mengkaji dan memutuskan persoalan berkaitan amalan GISB.
Baginda turut menasihati ibu bapa dan penjaga yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama atau pusat penjagaan amal supaya menyemak latar belakang sesebuah sekolah atau pusat penjagaan amal itu terlebih dahulu.
"Ini penting agar tidak terjebak dengan sekolah dan pusat jagaan tidak berdaftar dan melaksanakan program dan pembelajaran meragukan.
"Ini bertujuan memastikan anak-anak dididik dan dijaga dengan sewajarnya serta mengelak berlaku pengabaian dan eksploitasi terhadap anak-anak itu.
"Ingatlah bahawa anak-anak adalah suatu amanah daripada Allah SWT dan ibu bapa serta penjagalah yang bertanggungjawab untuk mencorak masa depan yang baik untuk anak-anak itu," titah baginda.