Sultan Selangor titah siasat pemfitnah sekolah tahfiz
Sinar Harian
Ogos 29, 2023 18:53 MYT
Ogos 29, 2023 18:53 MYT
SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah, fitnah mengatakan lebih 200 buah sekolah tahfiz di Selangor telah diarahkan tutup amat dikesali dan tidak bertanggungjawab.
Baginda bertitah, fitnah sebegini secara tidak langsung merisaukan ibu bapa dan boleh menghakis kepercayaan orang ramai terhadap institusi agama dan pihak berkuasa agama khususnya di negeri ini.
“Baru-baru ini telah berlaku kekecohan tentang fitnah yang telah dilemparkan terhadap pihak berkuasa agama negeri Selangor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor kononnya lebih daripada 200 buah sekolah tahfiz di Selangor telah diarahkan tutup yang mengakibatkan beribu pelajar tahfiz telah hilang tempat untuk belajar.
“Beta mahu mereka yang sering melemparkan fitnah dan tohmahan agar mendapatkan fakta tepat sebelum melontarkan sebarang tohmahan tidak berasas,” titah baginda.
Sultan Selangor merupakan Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agam Islam Malaysia (MKI) bertitah sempena Mesyuarat MKI Kali Ke-70 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Titah baginda lagi, golongan terbabit perlu segera memberhentikan perbuatan khianat dan tidak bertanggungjawab tersebut.
"Andai kata mereka meneruskan perbuatan fitnah dan khianat ini, beta mohon pihak polis segera mengesan kumpulan penfitnah ini dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.
"Pada hakikatnya beta telah menitahkan agar langkah pemutihan diambil terhadap sekolah-sekolah agama dan tahfiz swasta dan persendirian yang tidak berdaftar dengan mengarahkan pendaftaran dibuat bagi memastikan sekolah-sekolah ini adalah selamat dari segi ciri-ciri keselamatannya dan mempunyai suasana pembelajaran yang selesa untuk para pelajar menimba ilmu," titah baginda.
Berkenaan komitmen MKI dalam memperkasa pendidikan Islam, baginda bertitah, adalah merupakan manifestasi kepercayaan Majlis Raja-Raja untuk melihat tadbir urus Institusi Pendidikan Islam di Malaysia dapat diselaraskan dengan lebih baik dan teratur.
Baginda bertitah, dalam hubungan ini, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memastikan institusi pendidikan itu berkualiti serta memenuhi aspirasi ibu bapa, masyarakat dan negara untuk melahirkan pelajar cemerlang di dunia dan di akhirat.
Dalam pada itu, Sultan Selangor turut menyeru kepada mana-mana Institusi tahfiz swasta dan persendirian yang belum berdaftar dengan pihak berkuasa agama Islam negeri agar segera melaksanakannya supaya bantuan dan peruntukan dapat disalurkan seperti mana yang diterima oleh institusi pendidikan Islam yang berdaftar.
“Beta juga mencadangkan agar pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyediakan kertas kerja bagi membuat dasar dan prosedur yang komprehensif bagi pendaftaran institusi-institusi tahfiz swasta dan persendirian untuk diguna pakai di setiap negeri,” titah baginda.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian
#Sultan Selangor
#fitnah
#sekolah tahfiz
#Sultan Sharafuddin Idris Shah
#Majlis Raja-Raja
#Anwar Ibrahim
#siasatan
#tahfiz ditutup