Sultan Selangor titah segerakan perbicaraan kes-kes rasuah
Faris Danial Razi
Ogos 5, 2021 19:37 MYT
Ogos 5, 2021 19:37 MYT
KUALA LUMPUR: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, menyeru supaya perbicaraan kes rasuah disegerakan dan tidak melayani penangguhan kes tanpa alasan yang kukuh.
Menerusi laman Facebook Selangor Royal Office, baginda bertitah bahawa rakyat sudah muak dan bosan melihat pendakwaan berlarutan dan terlalu lama.
Sultan Sharafuddin juga menyasarkan rasuah di Selangor dapat dibanteras sepenuhnya supaya ia tidak menjadi masalah yang lebih besar dan boleh memudaratkan generasi masa akan datang.
Ia berikutan kebimbangan baginda berhubung peningkatan yang tinggi membabitkan kes rasuah, khususnya di Selangor.
Titah itu dikeluarkan selepas baginda berkenan menerima menghadap dan mendengar taklimat daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki di Istana Bukit Kayangan, pada Khamis.
Turut berangkat pada pertemuan selama dua jam itu ialah Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
Dalam pertemuan, baginda diberi taklimat mengenai peningkatan yang tinggi membabitkan kes rasuah khususnya di Selangor.