Sultan: Selangor tidak akan ubah cuti minggu

T K Letchumy Tamboo
Disember 9, 2013 01:56 MYT
Negeri Selangor tidak akan mengisytiharkan hari cuti mingguan negeri itu pada Jumaat dan Sabtu, seperti mana yang dilakukan oleh negeri Johor.
Akhbar The Star melaporkan bahawa Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak akan berbuat demikian kerana ia mungkin tidak menggalakkan pelaburan dan akan menjejaskan urusan perniagaan di negeri itu.
Sultan Sharafuddin memberitahu akhbar harian itu bahawa Selangor seringkali menjadi pusat perdagangan negara dan antarabangsa semenjak sebelum kemerdekaan lagi.
"Jika Jumaat adalah cuti umum, ia akan menjadi sukar untuk penyelarasan dengan negara-negara lain, termasuk Singapura.
"Ia akan menjadi sukar bagi komuniti perniagaan untuk menjalankan urus niaga mereka dan ia boleh memberi kesan kepada pasaran saham," katanya dalam temu bual dengan The Star.
Pada November 23, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar mengisytiharkan hari cuti negeri itu ialah pada Jumaat dan Sabtu dan tidak lagi Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2014.
Pertukaran cuti itu dilihat akan memberi implikasi pembangunan pesat kepada Wilayah Pembangunan Iskandar.
Sebelum tahun 1994, cuti di Johor ialah pada Jumaat dan Sabtu.
Kedah, Kelantan dan Terenganu turut mengamalkan cuti Jumaat dan Sabtu sebagai cuti minggu di negeri tersebut.
#cuti #Selangor #Sultan Sharafuddin Idris Shah