KUALA LUMPUR: Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa terkejut dan kecewa kerana Selangor menerima jumlah vaksin yang rendah daripada yang sepatutnya diterima.

Tegas baginda, keutamaan dalam agihan vaksin seharusnya diberikan kepada negeri ini memandangkan Selangor adalah penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Baginda menzahirkan rasa kecewa itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani.

"Baginda terkejut apabila disahkan oleh Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), sehingga 1 Jun 2021, Selangor hanya menerima sejumlah 615,210 dos vaksin Covid-19, dan bukan 2.9 juta dos seperti didakwa sebelum ini.

"Tegas Baginda lagi, adalah tidak adil apabila nisbah jumlah pemberian dos vaksin ketika ini tidak seimbang dengan jumlah populasi keseluruhan penduduk di negeri Selangor yang berjumlah 6.5 juta.

"Baginda juga suka untuk mengingatkan bahawa negeri Selangor adalah penyumbang terbesar dalam KDNK Malaysia, justeru keutamaan wajar diberikan untuk negeri ini.

"Titah Baginda, dalam situasi sekarang, nyawa rakyat haruslah diberi keutamaan berbanding agenda-agenda lain," katanya menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office.

BACA: COVID-19: Sultan Selangor zahir kekecewaan terhadap golongan antivaksin 



Mohamad Munir berkata, baginda turut mahu agar jumlah pusat pemberian vaksin (PPV) di Selangor ditambah, khususnya di kawasan luar bandar.

Baginda berpandangan, pemberian vaksin secara pandu lalu atau klinik bergerak mampu mempercepatkan proses dan meluaskan liputan vaksinasi.

Baginda turut memuji langkah kerajaan negeri Selangor ketika ini yang agresif melakukan ujian saringan COVID-19 secara percuma untuk rakyat di seluruh pelusuk negeri. 

 
Sumber Facebook selangorroyaloffice