Sultan Selangor, Tengku Permaisuri zahir ucapan selamat Hari Raya Aidiladha
Bernama
Jun 17, 2024 13:52 MYT
Jun 17, 2024 13:52 MYT
SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada umat Islam di seluruh Malaysia.
Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office, baginda turut menzahirkan harapan agar umat Islam sentiasa mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah SWT serta melaksanakan ibadah korban demi membantu golongan miskin di samping menginsafi nasib golongan yang daif.
Sultan Sharafuddin turut menyeru umat Islam agar bersama-sama menyempurnakan tugas dan tanggungjawab sebagai orang Islam yang patuh kepada ajaran agama dengan merapatkan ukhwah dan mengeratkan hubungan silaturrahim.
Dalam masa sama Sultan Selangor turut mendoakan jemaah haji Malaysia yang sedang menunaikan ibadah di Tanah Suci dikurniakan haji yang mabrur seterusnya kembali ke tanah air dengan selamat.
"Semoga pengalaman mengerjakan ibadah haji dapat dimanfaatkan agar menjadi insan yang lebih tawadduk serta mampu memperkukuh dan meningkatkan tahap keimanan dalam diri," titah baginda menerusi hantaran itu.
-- BERNAMA