Sultan Selangor, Tengku Permaisuri sampaikan ucapan Krismas

Sinar Harian
Disember 25, 2023 10:30 MYT
Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin. - Foto Selangor Royale Office
SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyampaikan ucapan selamat menyambut Hari Natal kepada seluruh rakyat Malaysia yang meraikannya.
Menurut hantaran di Facebook Selangor Royal Office, Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor berdua berharap sambutan perayaan seumpama ini akan terus memupuk rasa hormat menghormati sesama kaum, demi mengekalkan keamanan, kemakmuran dan keharmonian di kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama di negara ini.
"DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan mengutus ucapan selamat menyambut Hari Natal dan Merry Christmas kepada penganut agama Kristian di Malaysia yang merayakannya.
"Baginda berdua berharap sambutan perayaan seumpama ini akan terus memupuk rasa hormat menghormati sesama kaum, demi mengekalkan keamanan, kemakmuran dan keharmonian di kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama di negara ini," kata Selangor Royale Office di laman Facebook rasminya malam tadi.
Baginda turut berkenan menyampaikan ucapan selamat menyambut Hari Natal dalam bahasa Inggeris.
"Their Royal Highnesses hope this season finds you among those you love, sharing in the twin glories of generosity and gratitude. Also, take the time to reflect on the many blessings of your life and the privilege to be of service to others," kata Selangor Royale Office. - Sinar Harian
#Tengku Permaisuri Norashikin #Sultan Selangor #Krismas #Sultan Sharafuddin Idris Shah
;