Sultan Selangor, Tengku Permaisuri berangkat ke Majlis Santapan Negeri Sarawak

Bernama
November 6, 2023 05:30 MYT
Sultan Sharafuddin berkenan berangkat ke Majlis Santapan Negeri di Dewan Undangan Negeri Sarawak malam tadi, diiringi Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar (dua, kanan). --fotoBERNAMA
KUCHING: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke Majlis Santapan Negeri bersempena lawatan rasmi baginda berdua ke bandar raya ini di Bangunan Dewan Undangan Negeri di sini malam tadi.
Keberangkatan tiba baginda berdua diiringi Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Turut hadir Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri, Puan Sri Juma'ani Tuanku Bujang, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta barisan menteri dan timbalan menteri.
Terdahulu, baginda berdua berkenan berangkat ke Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak, Kubu Margherita dan Juma'ani Pavilion.
Ini merupakan kali pertama pasangan diraja itu berangkat ke Kuching bagi lawatan rasmi ke Bumi Kenyalang.
Mengakhiri lawatan empat hari ke bandar raya ini sejak Sabtu lepas, Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin dijadual berangkat pulang ke Selangor pada 11.30 pagi dengan menaiki pesawat khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching hari ini.
-- BERNAMA
#Sultan Sharafuddin Idris Shah #Abang Johari Tun Openg #lawatan rasmi #Majlis Santapan Negeri Sarawak
;