Sultan Selangor sukacita lebih 90 peratus petugas hospital kerajaan terima suntikan vaksin

Bernama
Mac 18, 2021 20:09 MYT
Sultan Sharafuddin mengharapkan selepas menerima suntikan vaksin COVID-19, petugas barisan hadapan akan dapat berkhidmat dengan lebih tenang dan selamat tanpa tekanan. - Gambar fail
SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa sukacita apabila baginda difahamkan lebih 90 peratus petugas barisan hadapan di hospital-hospital kerajaan di negeri ini telah menerima suntikan vaksin COVID-19.
Istana Alam Shah dalam satu hantaran di Facebook Selangor Royal Office hari ini menyatakan, Sultan Sharafuddin sentiasa mendapatkan perkembangan terkini mengenai data-data kes positif baharu dan statistik penerimaan vaksin COVID-19 daripada Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha'ari Ngadiman.
Menurut kenyataan itu, mereka yang telah mendapat suntikan di hospital kerajaan terdiri daripada doktor, jururawat, pemandu ambulans, kakitangan sokongan perubatan dan hospital yang terbabit secara langsung merawat pesakit yang dijangkiti COVID-19.
"Dalam pada itu, baginda juga turut difahamkan bahawa lebih daripada 50 peratus petugas barisan hadapan di hospital swasta di Selangor telah menerima suntikan vaksin COVID-19, dan dijangkakan kesemua mereka akan menerima vaksin menjelang akhir Mac ini.
"Baginda turut berasa sukacita dan memuji petugas-petugas barisan hadapan hospital di Selangor yang telah melaksanakan tanggungjawab dengan baik sehingga kini," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, Sultan Sharafuddin mengharapkan selepas menerima suntikan vaksin COVID-19, petugas barisan hadapan akan dapat berkhidmat dengan lebih tenang dan selamat tanpa tekanan.
Baginda turut menasihati rakyat di negeri ini yang layak untuk menerima vaksin supaya mendaftar dengan segera melalui saluran yang telah ditetapkan bagi mendapatkan suntikan tersebut.
"Baginda mengingatkan rakyat agar jangan lalai meskipun telah mendapat suntikan vaksin dan terus mematuhi amalan norma baharu serta prosedur operasi standard yang ditetapkan seperti menjaga kebersihan diri, memakai pelitup muka dan mengekalkan penjarakan fizikal, demi mengawal perebakan COVID-19," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#Sultan Sharafuddin Idris Shah #Sultan Selangor #Facebook #shah alam #COVID-19 #vaksin #barisan hadapan #kes positif
;