Sultan Selangor perkenan pembukaan DUN Selangor pada 14 Mac - Speaker

Bernama
Januari 20, 2022 18:07 MYT
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memberi perkenan pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi Penggal Ke-14, 2022 yang dijadualkan berlangsung selama dua minggu bermula 14 Mac depan.
SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memberi perkenan pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi Penggal Ke-14, 2022 yang dijadualkan berlangsung selama dua minggu bermula 14 Mac depan.
Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim berkata pembukaan sidang DUN kali ini akan dilaksanakan dengan penuh istiadat termasuk pemeriksaan kawalan kehormat dan istiadat santapan dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 yang ketat.
"Persidangan kali ini dilaksanakan seperti yang dijadualkan dan mendapat perkenan Sultan Selangor untuk istiadat pembukaan. Perbincangan ahli dewan akan berdasarkan titah ucapan baginda yang akan menyentuh berhubung insiden banjir baru-baru ini dan lain-lain isu.
Pertanyaan mulut dan bertulis juga kita jangka perkara ini yang akan (banyak) dibangkit (isu banjir). Itu mungkin antara agenda utama akan dibahaskan oleh ahli dewan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Ditanya adakah sidang DUN Khas untuk membincangkan isu banjir akan diadakan, Ng berkata beliau setakat ini belum menerima usul berhubung pelaksanaan sidang itu daripada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
"Jadi kita mungkin akan teruskan kepada istiadat pembukaan bulan Mac ini seperti yang dijadualkan. Mungkin tidak ada (sidang DUN Khas)," katanya.
-- BERNAMA
#Sultan Selangor #Sultan Sharafuddin Idris Shah #DUN Selangor #pembukaan DUN #Dewan Undangan Negeri #Speaker DUN #Ng Suee Lim
;