Sultan Selangor kesal ceramah politik di Masjid

Bernama
Mac 17, 2013 10:42 MYT
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa kesal dan dukacita dengan tindakan nazir dan imam yang masih membenarkan ceramah berunsur politik diadakan di masjid serta surau di negeri ini.
Baginda mendapat laporan terdapat 26 masjid serta surau tidak menghiraukan arahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang melarang perkara itu.
"Beta mendapat laporan terdapat 26 masjid dan surau yang masih membenarkan ceramah berunsur politik diadakan.
"Beta mengetahui nama masjid dan surau tersebut serta ahli jawatankuasanya, dan Beta amat kesal serta dukacita dengan nazir dan imam yang masih membenarkan perkara ini berlaku," titah baginda semasa merasmikan Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Bukit Jelutong Sabtu malam.
Sultan Selangor turut melarang umat Islam menjadikan masjid dan surau sebagai tempat berpolitik bagi mengelak pepecahan ummah.
"Tujuan beta melarang masjid dan surau dijadikan tempat berpolitik adalah untuk memastikan supaya masyarakat Melayu tidak berpecah belah dan berpuak-puak yang akhirnya akan memusnahkan bangsa Melayu dan agama Islam itu sendiri," titahnya.
Pada majlis itu, Sultan Sharafuddin turut berkenan Masjid Tengku Ampuan Jemaah, yang dinamakan sempena nenda baginda, dikategori sebagai Masjid Diraja.
Masjid Tengku Ampuan Rahimah, yang boleh memuatkan 4,000 jemaah, mula dibina pada Mei 2010 dengan kos RM22.5 juta melalui pembiayaan bersama iaitu wakaf khas Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al Haj, kerajaan Selangor, Sime Darby Property Bhd, anggota kariah masjid dan penduduk setempat.
#ceramah #masjid #Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah
;