Sultan Selangor ingatkan jemaah haji persiapkan diri sebaiknya

Bernama
April 28, 2024 16:00 MYT
Sultan Sharafuddin (tengah) berkenan berangkat menyempurnakan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor bagi tahun 1445H/2024 di Masjid Sultah Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini. - Foto Bernama
SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menasihatkan bakal jemaah haji untuk mempersiapkan diri sebaik-baiknya, bagi melaksanakan Rukun Islam kelima itu, tahun ini.
Sultan Sharafuddin bertitah ibadah haji merupakan satu perjalanan yang memerlukan kekuatan fizikal, emosi dan ilmu pengetahuan yang jelas.
"Sepanjang berada di Tanah Suci, bersihkan niat dan gunakanlah sepenuh masa serta tenaga tuan-tuan dan puan-puan, untuk melaksanakan amal ibadah.
"Beta juga menyeru agar tuan-tuan dan puan-puan saling berganding bahu, tolong menolong dan hormat menghormati antara satu sama lain," titah baginda.
Baginda bertitah demikian semasa menyempurnakan Kursus Perdana Haji Musim 1445 Hijrah Peringkat Negeri Selangor anjuran Lembaga Tabung Haji (TH), di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
Turut berkenan berangkat Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Sultan Sharafuddin bertitah para jemaah perlu terus mengekalkan disiplin diri semasa berada di Tanah Suci, serta menjaga nama baik Selangor dan Malaysia.
"Setakat ini, beta dimaklumkan bahawa jemaah haji Malaysia termasuk dari Selangor, adalah antara jemaah yang berdisiplin serta patuh kepada peraturan-peraturan yang telah ditentukan oleh kerajaan Arab Saudi.
"Beta berharap tuan dan puan akan menumpukan perhatian kepada ibadah di Tanah Suci dan elakkan daripada terlibat dalam sebarang bantahan atau demonstrasi," titah baginda.
Titah baginda lagi, jemaah haji negara haruslah sentiasalah berhubung dengan petugas haji dan mengikuti segala arahan yang dibuat oleh pihak TH.
Sementara itu Sultan Sharafuddin bertitah bahawa baginda telah disembah maklum bilangan pendeposit di TH bagi negeri Selangor ialah sekitar 1.81 juta orang, dengan jumlah simpanan RM18.797 bilion dan jumlah jemaah haji seramai 8,061 orang pada tahun ini.
Baginda turut menitahkan supaya kerajaan Selangor menaja 36 peserta haji dari sembilan daerah di negeri itu, yang dipilih dalam kalangan rakyat yang tidak mampu tetapi benar-benar berhasrat untuk menunaikan ibadah tersebut.
"Kerajaan negeri akan membelanjakan sebanyak RM1.2 juta untuk program tersebut," titah baginda.
Sementara itu, Mohd Na'im menerusi sembah ucapan aluan memaklumkan seramai 31,600 bakal haji telah mula mengikuti Kursus Perdana Haji Musim 1445H/2024M anjuran TH, yang diadakan secara berperingkat di seluruh negara bermula 20 April hingga 5 Mei.
Mohd Na'im berkata kursus selama dua hari satu malam itu, merupakan persiapan terakhir bagi bakal jemaah haji terpilih pada musim ini, sebelum berangkat ke Tanah Suci yang melibatkan aktiviti praktikal seperti tawaf, sa'ie, bermabit dan melontar.
-- BERNAMA
#Sultan Selangor #Sultan Sharafuddin Idris Shah #jemaah haji #Kursus Perdana Haji Musim 1445 Hijrah
;