Sultan Selangor dukacita masih ada umat Islam terperangkap maklumat salah

Bernama
Februari 7, 2025 07:00 MYT
Baginda bertitah pada Majlis Penutup Tilawah dan Hafazan Al Quran Peringkat Negeri Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa kesal dan dukacita apabila semakin ramai umat Islam terperangkap dengan maklumat yang salah walaupun banyak buku berkaitan agama Islam dikarang serta dicetak dalam Bahasa Melayu ketika ini.
Baginda bertitah umat Islam dilihat semakin mudah terpengaruh dengan dakyah ajaran sesat dan menyeleweng yang dibawa oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Di manakah silapnya kita sehingga kes yang melibatkan pengikut ajaran sesat semakin menjadi-jadi di negara kita ketika ini. Umat Islam akan ketinggalan dalam segala aspek kehidupan jika asyik terperdaya dengan ajaran agama yang berasaskan kepada unsur-unsur kurafat dan tahyul.
"Akibat daripada pengaruh-pengaruh yang menyesatkan ini menyebabkan umat Islam semakin berpecah-belah dan mudah ditindas oleh musuh-musuh Islam," titah baginda pada perasmian penutup Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat Negeri Selangor 1446H/2025M di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Jumaat.
Turut berangkat ke majlis itu Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.
Sultan Sharafuddin bertitah dalam dunia moden penuh dengan kemudahan dan dunia tanpa sempadan, pelbagai kaedah tersedia untuk mendapatkan maklumat sahih khususnya berkaitan agama Islam menurut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Titah baginda jika dibandingkan dengan zaman baginda mendalami agama dahulu, tiada buku ajaran agama Islam yang diterjemahkan dalam Bahasa Melayu dan kebanyakannya diterjemah dalam Bahasa Indonesia yang sukar untuk difahami.
"Kebanyakan buku-buku berkaitan agama Islam yang berada di negara kita ini (pada masa ini) telah dicetak dan diterjemahkan dalam Bahasa Melayu termasuk juga di laman-laman sesawang jika dibandingkan ketika zaman beta belajar agama dahulu.
"Umat Islam sekarang pada hakikatnya amat mudah untuk mempelajari dan mendalami ilmu agama Islam sebenar dengan adanya buku-buku agama Islam terjemahan Bahasa Melayu di pasaran," titah baginda.
Susulan itu, Sultan Selangor berpesan agar umat Islam sentiasa merujuk kepada pihak yang berautoriti dalam urusan agama dan tidak mudah percaya serta terpengaruh dengan ajaran atau fahaman songsang yang dibawa oleh sesetengah pihak.
"Perpaduan perlu menjadi teras utama kepada kehidupan umat Islam khususnya orang-orang Melayu. Islam adalah satu agama yang cukup lengkap dan indah serta boleh menjadi asas kepada perpaduan sesebuah masyarakat," titah baginda.
Selain itu, Sultan Sharafuddin bertitah agar pihak berkuasa agama Islam lebih peka dalam menangani masalah tersebut dan tindakan undang-undang dan penguatkuasaan perlu diambil dengan lebih berkesan agar ajaran sesat tidak terus menjadi duri dalam daging bagi umat Islam sehingga membawa kepada perpecahan.
"Di samping itu, beta ingin mengajak seluruh umat Islam supaya terus meningkatkan pembacaan al-Quran dalam kehidupan seharian dan memperbanyakkan amal ibadah, moga-moga kita akan sentiasa dilindungi Allah SWT serta dijauhi daripada malapetaka dan bencana.
"Beta amat merasa sukacita melihat ramai dalam kalangan anak-anak muda yang celik al-Quran dan mendalami ilmu al-Quran terutama di Selangor ini. Semoga dengan kehadiran kita semua dalam majlis seumpama ini akan menjadi sebab dan pencetus dalam diri kita untuk sentiasa berdamping bersama al-Quran," titah baginda.
-- BERNAMA
#Sultan Sharafuddin Idris Shah #maklumat salah #Umat Islam #Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran
;