Sultan Selangor disembah maklum permohonan maaf Sanusi

Khalis Khadir
September 26, 2024 12:15 MYT
Sultan Sharafuddin Idris Shah telah disembah maklum dengan surat permohonan maaf daripada Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah disembah maklum dengan surat permohonan maaf daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Perkara itu dimaklumkan menerusi laman Facebook Selangor Royal Office hampir 24 jam selepas Sanusi mengirimkan warkah permohonan maaf kepada Sultan Sharafuddin pada petang Rabu.
"Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah disembah maklum dengan surat permohonan maaf daripada Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
"Surat bertarikh 25 September 2024 itu antaranya memuatkan permohonan ampun di atas kenyataan beliau seperti mana yang telah dipertuduhkan terhadap beliau di mahkamah yang dianggap menghina dan tidak menghormati Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
"Beliau turut mengakui bahawa kenyataan beliau itu telah menimbulkan rasa tidak selesa dan telah mengguris hati dan perasaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan beliau benar-benar kesal atas segala kesan negatif yang telah timbul daripada kenyataan tersebut," kata kenyataan itu.
Dalam hantaran berkenaan turut dikepilkan warkah rasmi daripada Sanusi yang dikirimkan kepada istana pada semalam.
Sanusi menerusi warkah itu memohon maaf kepada Sultan Sharafuddin kerana terkhilaf kata sewaktu berucap dalam kempen pilihan raya negeri (PRN) pada 11 Julai 2023 di Gombak, Selangor.
Ini merupakan permohonan maaf kedua oleh Sanusi kepada Sultan Selangor selepas kali pertama pada 14 Julai tahun lalu.
Beliau mendakwa seseorang Sultan yang hebat tidak akan melantik orang seperti Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.
Susulan itu, Sanusi menzahirkan rasa kesal dengan kesan negatif yang timbul daripada kenyataan itu dan menyatakan beliau tidak berniat mempersenda Sultan Sharafuddin yang amat disanjunginya.
Kenyataan itu membuatkan beliau dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.
#Sultan Selangor #Sultan Sharafuddin Idris Shah #Muhammad Sanusi Md Nor #akta hasutan
;