Sultan Selangor bimbang ramai dilihat semakin abaikan SOP cegah COVID-19

Bernama
Julai 8, 2020 16:47 MYT
Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak mahu rakyat hidup dalam suasana berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan seterusnya boleh mengakibatkan kehilangan nyawa. - Gambar fail
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan melihat ramai rakyat di negeri ini semakin mengabaikan amalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan wabak COVID-19.
Sultan Sharafuddin dalam satu kenyataan hari ini bertitah, menerusi pemerhatian baginda, ramai rakyat dilihat tidak lagi mematuhi garis panduan ditetapkan dengan berada di tempat awam tanpa memakai pelitup muka dan tidak menjaga jarakan sosial.
Baginda juga sangat bimbang sekiranya masih ramai berdegil dan tidak mengamalkan kebiasaan baharu, gelombang kedua penularan wabak COVID-19 akan muncul seterusnya menjejaskan ekonomi serta kehidupan seharian rakyat.
Justeru, Sultan Sharafuddin menyeru semua rakyat mengamalkan disiplin tinggi dengan sentiasa memakai pelitup muka, membersihkan tangan menggunakan cecair pensanitasi dan menjaga jarakan sosial serta tidak keluar ke tempat awam bagi yang tidak sihat.
Baginda juga tidak mahu rakyat hidup dalam suasana berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan seterusnya boleh mengakibatkan kehilangan nyawa.
Titah Sultan Sharafuddin lagi, selagi vaksin COVID-19 belum ditemui, baginda berharap semua rakyat berusaha sehabis baik mematuhi SOP kerana cara itu sahaja terbukti berkesan menghapuskan wabak berkenaan.
- BERNAMA
#COVID19 #garis panduan #mengabaikan amalan SOP #penularan wabak #Sultan Selangor #Sultan Sharafuddin Idris Shah
;