Sultan Selangor berkenan sertai acara Larian KITA
Bernama
Disember 15, 2024 13:45 MYT
Disember 15, 2024 13:45 MYT
SUNGAI BESAR: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Norashikin berkenan menyertai Larian Kebajikan Inklusiviti Teras Aspirasi (KITA) di Kampung Bagan Terap, di sini hari ini.
Keberangkatan tiba baginda kira-kira 7.30 pagi disambut Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Hadir sama Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor Datuk Rizam Ismail dan Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor Datuk Ng Suee Lim.
Sultan Sharafuddin kemudian berkenan melepaskan kira-kira 2,500 peserta yang melibatkan kategori 5 kilometer (km) dan 3 km.
Baginda turut berkenan menyertai larian sambil mengenakan kain pelekat dan topi jerami bertepatan suasana kampung yang menjadi tema acara.
Tengku Zafrul ketika ditemui selepas larian berkenaan berkata Sultan Sharafuddin menitahkan supaya acara serupa diteruskan pada masa akan datang di kawasan luar bandar dengan melibatkan penduduk tempatan bagi memupuk gaya hidup sihat.
"Pada masa yang sama, acara ini dapat mempromosikan tarikan pelancongan yang ada selain menjadi kawasan pertanian dan keusahawanan," katanya dan memaklumkan Larian KITA yang seterusnya akan diadakan di Klang tahun hadapan dengan sasaran untuk menarik lebih ramai penyertaan.
-- BERNAMA
#Sultan Selangor
#Sultan Sharafuddin Idris Shah
#Larian Kebajikan Inklusiviti Teras Aspirasi
#Tengku Norashikin