Sultan Selangor berbuka puasa bersama warga UPM

Bernama
Mac 15, 2024 05:40 MYT
Sultan Sharafuddin Idris Shah menunaikan solat maghrib bersama para jemaah ketika berkenan menghadiri majlis berbuka puasa bersama warga Universiti Putra Malaysia (UPM) di Masjid UPM, pada Jumaat. - Gambar Bernama
SERDANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Jumaat berkenan menghadiri majlis berbuka puasa bersama warga Universiti Putra Malaysia (UPM), di Masjid UPM, di sini.
Majlis berbuka puasa itu dihadiri kira-kira 1,000 warga UPM, termasuk komuniti sekitar.
Ketibaan baginda disambut Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Kadir; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan barisan Lembaga Pengurusan UPM.
Pada majlis itu, baginda turut berkenan menerima sumbangan Wakaf Ilmu UPM daripada orang perseorangan, rakan korporat UPM, kakitangan dan pelajar universiti berjumlah RM1.98 juta.
Wakaf Ilmu UPM diwujudkan sejak tahun 2012, bagi memenuhi keperluan dan pembiayaan aktiviti akademik, bantuan kewangan, penyelidikan, pembangunan fasiliti serta penjanaan bagi warga UPM.
Baginda yang juga Canselor UPM, turut berkenan menerima Dana Zakat RM8.17 juta yang dipersembahkan oleh Ahmad Farhan, serta Projek Dana Wakaf Ilmu UPM berjumlah RM1.25 juta yang dipersembahkan Pendaftar Muhazam Mansor.
Sultan Sharafuddin turut berkenan menerima zakat perniagaan berjumlah RM158,177 daripada UPM Holdings Sdn Bhd, Koperasi UPM Bhd, dan TMJ Mesra Travel and Tours Sdn Bhd.
Baginda juga berkenan menerima Sumbangan Dana Wakaf Ambulans berjumlah RM400,000 daripada Tabung Haji yang dipersembahkan oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Syed Hamadah Syed Othman untuk kegunaan Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), UPM.
Baginda kemudian menyampaikan sumbangan duit raya berjumlah RM21,000 kepada 30 pelajar UPM yang juga anak yatim, muallaf, Orang Kurang Upaya dan asnaf.
Sultan Sharafuddin kemudiannya turut berkenan menunaikan solat maghrib, isyak dan tarawih bersama rakyat jelata.
Sementara itu, Ahmad Farhan berkata majlis berbuka puasa hari ini merupakan yang pertama dianjurkan selepas pandemik COVID-19.
Beliau berkata, selain meraikan Sultan Sharafuddin, majlis itu turut meraikan kira-kira 70 pelajar antarabangsa yang kini sedang menjalani program mobiliti di UPM.
"Saya yakin baginda tuanku berhajat untuk berjumpa dengan warga kampus dan rakyat jelata.
"Ini sebagai satu kaedah di mana baginda tuanku turun ke padang dan baginda pun dah lama tidak turun dalam bulan Ramadan," katanya kepada Bernama.
Mengenai Wakaf Ilmu UPM, Ahmad Farhan berkata, pengagihan akan dibuat selari dengan aspirasi universiti itu.
"Kita ada banyak perancangan untuk wakaf ini dan kita telah mengetengahkan satu strategi menggunakan wakaf ini untuk memberi pelajar pengalaman pembelajaran dan kehidupan yang terbaik
"Pembelajaran dalam aspek kehidupan melibatkan banyak kos dan kita yakin wakaf ini boleh membantu kalau kita bijak mengaturnya," katanya. - BERNAMA
#Sultan Selangor #Sultan Sharafuddin Idris Shah #Sultan Selangor buka puasa #Universiti Putra Malaysia
;