Sultan Selangor anggap tindakan conteng mural pemimpin negara bermotif politik kebencian
Firdaus Azil
Julai 20, 2020 17:29 MYT
Julai 20, 2020 17:29 MYT
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj hari ini menzahirkan rasa murka dan amat duka cita dengan kejadian vandalisme terhadap mural pemimpin negara yang berlaku di Shah Alam.
Dalam catatan terbaharu di Facebook rasmi Istana Alam Shah, baginda bertitah, contengan kata-kata kesat di atas lukisan mural gambar Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noorhisham Abdullah, serta beberapa pemimpin lain sebagai perbuatan yang sangat biadab.
Titah Tuanku Sultan lagi, baginda kesal dan kecewa kerana kejadian ke atas sebuah hasil karya seni ini berlaku di negeri Selangor.
Apatah lagi, baginda amat menghargai karya seni pelukis tempatan seumpamanya, menurut kenyataan itu lagi.
“Baginda berpandangan kejadian ini bukan dilakukan oleh orang kurang siuman atau budak-budak nakal, tetapi lebih kepada bermotifkan politik kebencian.
“Baginda berharap pelaku dapat ditangkap segera dan dihadapkan ke muka pengadilan,” titah Sultan Selangor menurut kenyataan itu lagi.
Terdahulu, negara dikejutkan dengan insiden Mural gergasi yang memaparkan pemimpin negara termasuk potret Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam telah diconteng oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Mural berkenaan telah dilukis oleh tiga pelukis muda iaitu Muhammad Suhaimi Ali, 27; Muhamad Firdaus Nordin, 26; dan Abdul Hadi Ramli, 27.
#jenayah
#murka
#Perdana Menteri
#Sultan Selangor
#Sultan Sharafuddin Idris Shah
#vandalism
#Yang di-Pertuan Agong