Sultan Selangor amat dukacita tindakan orang Melayu hasut rakyat benci Raja

Bernama
Jun 8, 2018 05:53 MYT
Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin berangkat ke Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat Dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Berserta Perasmian Masjid Al-Falah di Jalan Kebun, Seksyen 30, 8 Jun, 2018. - Foto BERNAMA
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan tindakan pihak tertentu yang secara terbuka menghina serta memperlekeh institusi raja bagi menghasut dan mempengaruhi rakyat supaya membenci Raja-raja Melayu.
Titah baginda, paling mendukacitakan adalah apabila hasutan supaya membenci Raja-raja Melayu itu dilakukan oleh segelintir orang Melayu sendiri.
"Peranan institusi raja adalah bagi memelihara dan mempertahankan kedudukan orang Melayu dan agama Islam serta kaum-kaum lain di negara ini.
"Penularan budaya ini dalam kalangan pihak tertentu harus dihentikan agar rakyat tidak terus dihasut supaya membenci Raja-raja Melayu sehingga mengakibatkan taat setia rakyat terhakis," titah baginda pada majlis berbuka puasa bersama rakyat dan penyampaian sumbangan hari raya, di sini pada Jumaat.
Turut berangkat ke majlis tersebut adalah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Tegas Sultan Sharafuddin, institusi raja berperanan dalam sistem raja berpelembagaan yang diamalkan di negara ini malah sentiasa mendukung prinsip-prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Oleh itu, baginda menyeru semua orang Melayu khususnya di Selangor mengelak perbalahan sesama sendiri yang boleh membawa kepada perpecahan sehingga memberi imej buruk kepada agama Islam.
Sultan Sharafuddin mahu semua umat Islam supaya berbaik sangka, bersatu padu, bertolak ansur dan sentiasa bersedia untuk memaafkan serta membantu antara satu sama lain seperti ajaran agama yang mengutamakan nilai-nilai positif.
“Rakyat juga perlu membantu dan menyumbang untuk kemajuan negeri dan negara. Jangan hanya mengkritik, mencaci, mengecam dan mencela terutamanya di media sosial kerana ia bukan sahaja menyakiti hati orang lain, tetapi akan memberikan kesan negatif kepada rakyat serta pembangunan negara,” titah baginda.
Sultan Selangor juga menyeru seluruh rakyat negeri itu supaya terus bersatu padu dan mengukuhkan keharmonian sesama masyarakat tanpa mengira pangkat, darjat, usia, bangsa dan agama selain melaksanakan pelbagai langkah meningkatkan taraf ekonomi termasuk berhemah dalam berbelanja.
Sementara itu, sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri minggu depan, baginda turut menasihatkan seluruh rakyat supaya sentiasa berhati-hati dan berhemah semasa memandu di jalan raya.
Pada majlis sama, Sultan Sharafuddin berkenan merasmikan Masjid Al-Falah, Jalan Kebun, Seksyen 30, di sini.
Hadir sama Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang juga Anggota Parlimen Kota Raja.
-- BERNAMA
#benci #dukacita #hasut #hina #institusi raja #masjid #media sosial #Melayu #Mohamad Sabu #RAJA #rakyat #Sultan Selangor #Sultan Sharafuddin Idris Shah
;