Sultan Perak, Sultan Selangor, Sultan Johor antara yang hadir ke Istana Negara
Ridauddin Daud
Oktober 25, 2020 14:39 MYT
Oktober 25, 2020 14:39 MYT
KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, antara yang dilihat berangkat ke Istana Negara pada Ahad.
Turut berangkat ialah Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir.
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail turut sama berangkat bagi menghadiri pertemuan bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sultan Ibrahim dilihat paling awal tiba di pintu masuk utama Istana Negara pada jam 1.30 petang dan Sultan Nazrin terakhir tiba tepat jam 2.30 petang pada Ahad.
Menurut sumber, pertemuan itu akan membincangkan beberapa cadangan yang dipersembahkan oleh kerajaan terutamanya mengenai penularan COVID-19.
Menurut sumber itu lagi, Al-Sultan Abdullah mempunyai hak untuk mengisytiharkan darurat namun perkara itu akan dibincangkan bersama Raja-Raja Melayu.
Difahamkan pertemuan itu mungkin akan berlangsung sekurang-kurangnya satu jam dan ada sumber memberitahu ia mungkin tamat kira-kira jam 4.00 ke 4.30 petang.
#Yang di-Pertuan Agong
#Istana Negara
#Raja-raja Melayu
#COVID-19
#coronavirus
#Al-Sultan Abdullah
#Sultan Perak
#Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
#Sultan Sharafuddin Idris Shah
#Sultan Johor
#Sultan Ibrahim Sultan Iskandar