Sultan Perak rasmi Kem Batalion 3 PGA Bidor

Abd Razak Mohd Ali
Jun 14, 2023 12:10 MYT
Sejurus tiba, baginda memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 102 orang anggota Batalion 3 PGA Bidor. - Astro AWANI
TAPAH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Kem Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, dekat sini, hari ini.
Keberangkatan tiba baginda kira-kira jam 9.35 pagi disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris serta Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris.
Sejurus tiba, baginda memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 102 orang anggota Batalion 3 PGA Bidor.
Majlis diteruskan dengan bacaan Al-Quran oleh Ketua Balai Polis Sentral Ipoh, Asisten Superintenden, Mohamad Shahran Tarmizi yang merupakan johan qari Tilawah al-Quran Polis Diraja Malaysia (PDRM) Peringkat Kebangsaan 2018.
Ia diikuti bacaan doa yang dipimpin Pegawai Tadbir Agama Daerah Batang Padang, Rozaini Ibrahim.
Majlis diteruskan dengan sembah ucapan Ketua Polis Negara diikuti persembahan Lagenda Perang Senoi Praaq dan deklamasi sajak bertajuk “Warisan Peribumi Pertiwi”.
Majlis dimeriahkan dengan persembahan payung terjun oleh enam anggota dari Unit 69 Komando (VAT69).
Kemuncak majlis ialah lafaz perasmian dan menandatangani plak perasmian oleh Sultan Nazrin sebelum gimik perasmian oleh pegawai dan anggota Batalion 3 PGA Bidor.
Kem Batalion 3 PGA Bidor mula beroperasi pada 8 Februari 1984, selepas kesemua fungsi pentadbiran ibu pejabat (HQ Element)/Kompeni Batalion 20 Pasukan Polis Hutan (PPH) dipindahkan ke kem itu.
Ekoran dari pengecilan dan penggabungan Batalion-Batalion PPH di seluruh Malaysia, pada 1 Januari 1993, Batalion 20 PPH telah diubah menjadi Batalion 3 PPH yang melibatkan pertukaran 'Beret Merah Maroon' kepada 'Beret Biru'.
Setelah itu, pada 1 November 1997 nama Pasukan Polis Hutan (PPH) kemudiannya telah ditukar kepada Pasukan Gerakan Am (PGA).
#Sultan Nazrin Shah #Kem Batalion 3 PGA #Saarani Mohamad #Acryl Sani Abdullah Sani
;