Sultan Perak rasmi jambatan Bagan Datuk, kini dinamakan Jambatan Sultan Nazrin Shah

Bernama
Oktober 7, 2023 12:43 MYT
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyempurnakan gimik perasmian Jambatan Sultan Nazrin Shah hari ini. - Foto Bernama
BAGAN DATUK: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan merasmikan jambatan Bagan Datuk di sini hari ini.
Baginda juga berkenan jambatan sepanjang kira-kira 1.5 kilometer yang bernilai RM460 juta merentasi Sungai Perak itu dinamakan Jambatan Sultan Nazrin Shah.
Keberangkatan Baginda dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim disambut Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.
Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Turut berangkat Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris dan Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa.
Majlis dimulakan dengan lagu kebesaran negeri Perak diikuti bacaan al-Quran dan doa sebelum Sultan Nazrin menyempurnakan lafaz perasmian dan menandatangani plak.
Baginda kemudian berkenan berangkat menyaksikan pertunjukan air oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) di bahagian tengah jambatan tersebut.
Sementara itu dalam ucapan aluannya Ahmad Zahid berkata jambatan Sultan Nazrin Shah menoktahkan penantian rakyat sejak pecah tanah bermula pada 2017.
Katanya pembukaan jambatan itu menarik lebih ramai orang mengunjungi daerah Bagan Datuk serta memberi limpahan ekonomi dan sosial kepada rakyat di kawasan tersebut.
"Terbinanya jambatan ini yang bernilai RM460 juta dan sepanjang 10.5 kilometer dengan 1.5 kilometer panjang jambatan merentasi Sungai Perak, rakyat jelata dapat menikmati jarak perjalanan yang lebih pendek iaitu pengurangan perjalanan sekitar 50 kilometer dengan penjimatan masa sebanyak lebih 1 jam.
"Jadi maksudnya, sekarang hanya mengambil masa kurang dari 15 minit sahaja dengan adanya jambatan ini," katanya.
Beliau berkata Jambatan Sultan Nazrin Shah juga merupakan satu ikon dan kebanggaan kerana telah dicatatkan dalam The Malaysia Book of Records 2023 dengan pencapaian Laluan Papak Bertingkat Atas Cerucuk Yang Terpanjang dan Bilangan Titik Cerucuk Terbanyak bagi Laluan Papak Bertingkat Atas Cerucuk, pada Mei lalu.
Sebelum ini Ahmad Zahid menyempurnakan pembukaan jambatan tersebut pada 1 Jun lalu.
Jambatan yang menghubungkan kawasan Perak Tengah dan Bagan Datuk menjimatkan masa penduduk untuk ke pekan berdekatan iaitu mengambil masa hanya 15 minit berbanding sejam menggunakan laluan sebelum ini.
-- BERNAMA
#Sultan Perak #Sultan Nazrin Shah #jambatan bagan datuk #Jambatan Sultan Nazrin Shah
;