Sultan Perak perkenan lantik Saarani sebagai MB baharu
Harits Asyraf Hasnan
Disember 9, 2020 18:03 MYT
Disember 9, 2020 18:03 MYT
IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah memperkenan untuk melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Abdul Rahim Mohamad Nor dalam satu kenyataan berkata ia selepas Sultan Nazrin mempertimbang cadangan serta yakin Saarani memperoleh sebahagian besar ADUN.
“Baginda menetapkan 24 Rabiulakhir 1442 bersamaan 10 Disember 2020 jam 11 pagi untuk istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di Istana Iskandariah, Perak,” memetik kenyataan yang dibaca oleh Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Annuar Zaini di perkarangan Istana Kinta di sini hari ini.
Sebelum itu, lapan ADUN dilihat memasuki Istana Kinta hari ini bagi menghadap Sultan Nazrin.
Mereka adalah tiga ADUN Pas iaitu ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria; ADUN Selama, Mohd Akmal Kamarudin dan ADUN Kubu Gajah, Khalil Yahaya.
Ia disusuli tiga ADUN Bersatu iaitu ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin; ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamhari.
Turut menghadap adalah ADUN Buntong dari Parti Gerakan, S Subramaniam dan ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong.
“Hari ini kita telah mendapat satu kata sepakat oleh pucuk pimpinan kita. Kami di peringkat negeri telah menzahirkan apa yang diputuskan oleh ketiga-tiga presiden parti,” kata Razman sejurus keluar dari Istana Kinta.
Zainol dalam kenyataannya turut senada dengan Razman.
“Kami buat keputusan ini berdasarkan kesefahaman di peringkat pusat oleh presiden Bersatu, UMNO dan PAS.
“Jadi, itulah keputusan yang kami sembah maklum kepada Sultan Perak,” katanya.
Saarani, 59 adalah anak kelahiran Lenggong, Perak dilahirkan pada 13 Mac 1961.
Beliau yang berumah tangga dengan Datin Aezer Zubir yang merupakan pesara guru dikurniakan lapan orang cahaya mata.
Saarani yang memperoleh Diploma Sains serta Pendidikan (Fizik dan Matematik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), kemudian melanjutkan pendidikan ke peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang pengurusan sumber manusia di Open University Malaysia (OUM).
Beliau yang menjadi ADUN Kota Tampan selama empat penggal itu pernah berkhidmat bersama tiga Menteri Besar Perak terdahulu iaitu Tan Sri Tajul Rosli Ghazali, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Ahli politik berpengalaman ini juga pernah menjadi Ketua Pembangkang di DUN Perak sewaktu Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negeri itu pada 2018.
#Saarani Mohamad
#angkat sumpah
#MB Perak
#Menteri Besar Perak
#MB Perak baharu
#Sultan Perak
#Sultan Nazrin Muizzuddin Shah