Sultan Perak perkenan guru diberi penghormatan baca khutbah Jumaat
Bernama
Mei 12, 2023 16:05 MYT
Mei 12, 2023 16:05 MYT
IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan supaya guru-guru di negeri ini diberi penghormatan membaca khutbah Jumaat hari ini di beberapa masjid sebagai mengiktiraf peranan penting golongan itu kepada negara, bersempena dengan Hari Guru yang akan disambut 16 Mei ini.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Tan Sri Mohd Annuar Zaini dalam kenyataan berkata Sultan Nazrin telah menitahkan supaya khutbah Jumaat di negeri ini bertemakan "Guru Insani: Pemangkin Membangunkan Masyarakat Bertamadun".
"Ini merupakan kali pertama guru-guru di negeri ini diberi penghormatan membaca khutbah Jumaat di masjid dalam negeri," katanya kepada Bernama ketika dihubungi, hari ini.
Di Masjid Sultan Idris Shah II yang juga Masjid Negeri Perak di sini, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di sini.
Keberangkatan tiba Raja Jaafar kira-kira 1 tengah hari disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri Perak Muhammad Yahya membacakan khutbah di masjid itu hari ini dengan lengkap berbaju Melayu.
Menerusi khutbah itu, Muhammad berkata guru insani bukan sahaja memiliki pengetahuan dan menguasai ilmu, malah memiliki sifat-sifat mulia seperti sabar, tekun, prihatin, hormat, serta daya menyelami dan memahami perasaan atau emosi insan lain.
"Warga pendidik berperanan besar dalam usaha mencanai pemikiran warga, agar terbina masyarakat yang bertamadun, berakhlak mulia, tinggi budi pekerti, berhemah, bermaruah, jujur, ikhlas, matang berfikir, menghargai keamanan dan kerukunan, serta bersifat patriotik kepada negara bangsanya," kata Muhammad.
Menurutnya, guru memenuhi peranan mengajar dan mendidik, turut berperanan sebagai pengasuh dan pembimbing, memberikan panduan serta teladan.
Antara masjid lain di negeri ini yang memberi penghormatan kepada guru untuk membacakan khutbah Jumaat ialah Masjid Daerah Kinta Utara yang juga Masjid Sultan Azlan Shah, Masjid Daerah Kinta Selatan dan Masjid Daerah Kuala Kangsar.
Sementara itu, Muhammad ketika ditemui berkata penghargaan dan penghormatan yang diberikan pada hari ini sekurang-kurangnya membolehkan warga pendidik itu memberikan input khususnya kepada masyarakat berkaitan tanggungjawab guru.
"Alhamdulillah, ini merupakan satu peluang yang sangat dihargai. Kalau bukan berjawatan sebagai imam ataupun khatib di masjid memang tidak dapat diberi peluang (membacakan khutbah Jumaat di masjid)," katanya.
-- BERNAMA