Sultan Perak berkenan rasmi Galeri Rumah Lat

Amirrul Rabbani
Julai 8, 2023 12:16 MYT
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (kanan) berkenan berangkat merasmikan Galeri Rumah Lat di Jalan Bemban, Batu Gajah, Perak, pada Sabtu. Galeri itu menempatkan kesemua hasil karya seni yDatuk Lat pada sepanjang tempoh kariernya. - Gambar Astro AWANI
BATU GAJAH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat merasmikan ‘Galeri Rumah Lat’ di Jalan Bemban, dekat sini pada Sabtu.
Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Mohd Zamri Mat Zain; Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah, Lembaga Muzium Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, serta Datuk Lat.
Galeri yang dibina di atas tanah berkeluasan 0.0412 hektar itu menempatkan kesemua hasil karya seni yang dihasilkan kartunis tersohor tanah air, Datuk Mohd Nor Khalid atau dikenali sebagai ‘Datuk Lat’ pada sepanjang tempoh kariernya sejak dari tahun 1962
Antara yang dipamerkan ialah asil-hasil lukisan dan tulisan Lat serta sebuah sebuah replika rumah kayu tradisional Perak yang menempatkan barang-barang peribadi termasuk koleksi keluarganya.
Menariknya, replika rumah kayu tradisional itu dibina berdasarkan kepada rumah dalam komik dan animasi popular Datuk Lat iaitu ‘Kampung Boy’.
Kos pembangunan Galeri Rumah Lat yang menelan belanja RM3.81 juta dibiayai Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan siap sepenuhnya pada Januari 2022.
Sementara kerja-kerja pengisian bahan pameran pula disiapkan pada 30 Jun lalu dengan kos bernilai RM700,000 dengan pembiayaan Wang Sumbangan MOTAC.
Manakala Kerajaan Perak bertindak sebagai menampung seluruh kos operasi galeri dari segi fizikal, selenggara dan perjawatan.
Galeri Rumah Lat dibina bagi mengenang jasa Datuk Lat dan memastikan segala hasil karyanya dapat dipamerkan di suatu tempat khusus yang dapat disimpan serta menjadi tatapan generasi akan datang.
Lat, 72, yang dilahirkan di Kota Bharu, Gopeng itu merupakan anak sulung daripada empat beradik kepada pasangan Khalid Mohd Noh dan Noor Azian Said.
Beliau mula mengorak langkah sebagai kartunis menerusi karya-karya awalnya antaranya ‘Komik Tiga Sekawan – Menangkap Pencuri’ yang diterbitkan oleh Sinaran Brothers di Pulau Pinang pada tahun 1964, ‘Tua Keladi’ yang disiarkan di dalam Majalah Filem yang diterbitkan di Singapura (1966), serta ‘Keluarga Si Mamat’ yang disiarkan dalam Berita Minggu (1968).
Pada tahun 1974, kartun ‘Bersunat’ yang disiarkan menerusi Asia Magazine, Hong Kong berperanan sebagai pencetus kepada perubahan kerjaya beliau sebagai kartunis.
Rentetan itu, akhbar The New Straits Times (NST) melantik beliau sebagai ‘editor kartunis’ dengan memperuntukkan ruang khas ‘Scenes of Malaysia’ pada tahun 1975.
Abang kepada pengarah tersohor tanah air, Allahyarham Mohamad Mohd Khalid atau ‘Mamat Khalid’ itu pernah menerima pelbagai anugerah serta pengiktirafan dalam dan luar negara.
Antaranya adalah rakyat Malaysia yang pertama menerimaanugerah "The Tokyo Creation Award Present" dari "Tokyo Fashion Association" pada tahun 1991; Anugerah Buku Negara untuk kategori Tokoh Kartunis Negara (2012); Pengiktirafan History Maker oleh History Channel (2017); serta Anugerah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023.
Pada majlis perasmian galeri itu juga, Sultan Nazrin berkenan mengumumkan gelaran Seniman Diraja kepada Lat.
#Datuk Lat #Seniman Diraja #Sultan Perak' #Galeri Rumah Lat
;