Sultan Perak berkenan beri penghormatan terakhir kepada mendiang Samy Vellu
Bernama
September 16, 2022 16:11 MYT
September 16, 2022 16:11 MYT
KUALA LUMPUR: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan memberikan penghormatan terakhir kepada bekas Presiden MIC Tun S Samy Vellu di kediamannya di Lengkungan Vethavanam di sini hari ini.
Keberangkatan tiba baginda pada 9.55 pagi diiringi Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan.
Baginda turut menzahirkan titah takziah kepada ahli keluarga mendiang atas pemergiannya sebelum berangkat pulang kira-kira 10 minit kemudian.
Lebih 5,000 orang hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang antaranya tokoh politik, kenalan rapat, ahli keluarga serta pelbagai lapisan masyarakat dengan berkongsi pengalaman bersamanya.
Saravanan ketika ditemui pemberita menyifatkan Samy Vellu sebagai seorang mentor yang banyak memberi tunjuk ajar sehingga beliau berjaya menjadi menteri Kabinet.
"Antara pesanan mendiang yang selalu diingati ialah tiada mana-mana pemimpin akan dapat 100 peratus sokongan, tetapi teruskan usaha sehingga sampai satu masa rakyat menghargai," katanya.
Bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata kehilangan Samy Vellu diibaratkan hilangnya sebutir bintang kerana beliau adalah seorang tokoh yang memperjuangkan rakyat Malaysia tidak kira agama, bangsa mahupun pangkat.
"Saya berasakan seperti hilangnya sebutir bintang kerana beliau betul-betul seorang pemimpin hebat. Pada pengalaman saya Tun adalah pemimpin untuk seluruh negara tidak kira agama dan bangsa dan sempena Hari Malaysia ini kita harus pemeringati jasa Tun," katanya.
Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hassan berkata mendiang adalah seorang pemimpin yang disegani oleh kawan mahupun lawan kerana dengan sikapnya yang suka berseloroh tapi tegas dalam membuat keputusan.
"Beliau pemimpin yang hebat, berpandangan progresif dan jauh. Bagi saya kehilangan beliau adalah kehilangan yang amat besar buat negara," katanya.
Sementara itu, jasad Samy Vellu akan dibawa ke Krematorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di Cheras pada petang ini untuk disemadikan
Samy Vellu yang dilahirkan pada 8 Mac, 1936, meninggal dunia kira-kira 7 pagi semalam di kediamannya pada usia 86 tahun. Samy Vellu yang memimpin MIC dari 1981 hingga 2010 adalah antara pemimpin paling lama memegang jawatan dalam Kabinet, iaitu kira-kira tiga dekad bermula sebagai Menteri Kerja Raya pada 1979.
-- BERNAMA