Sultan Perak berangkat tunai solat sunat Aidiladha bersama 1,000 jemaah

Amirrul Rabbani
Jun 29, 2023 09:50 MYT
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 1,000 jemaah di Masjid Sultan Azlan Shah, Jalan Raja Musa Mahadi, di sini, hari ini. - Gambar BERNAMA
IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 1,000 jemaah di Masjid Sultan Azlan Shah, Jalan Raja Musa Mahadi, di sini, hari ini.
Turut berangkat Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris.
Keberangkatan tiba Sultan Nazrin kira-kira pada jam 8.30 pagi itu disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini; Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun serta Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim.
Imam utama Syed Mohd Muzzaffar Syed Azlan yang mengimamkan solat sunat turut menyampaikan khutbah bertajuk ‘Ibadah Korban - Bukti Takwa ke Hadrat Ilahi’.
Khutbah antara lain menyeru umat Islam untuk menyambut Hari Raya Aidiladha dengan sifat kesyukuran di samping mengutamakan pengagihan daging korban kepada golongan yang kurang berkemampuan.
Selain itu, khutbah sama mengingatkan umat Islam mengambil iktibar di sebalik ibadah haji yang mana kedudukan manusia sama di sisi Ilahi dan kelebihan seseorang hamba terletak pada sifat takwa.
Usai solat sunat, Sultan Nazrin meninggalkan pekarangan dan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha di Sekolah Menengah Agama Izzudin Shah, dekat sini.
#Sultan Nazrin Shah #Sultan Perak #solat sunat Aidiladha #Masjid Sultan Azlan Shah
;