Sultan Pahang zahir dukacita kejadian lempar bom petrol

Kenyataan Media
Mac 30, 2024 23:51 MYT
Baginda turut mengecam sekeras-kerasnya kejadian tersebut dan menyifatkannya sebagai satu perbuatan yang menyalahi undang-undang. - Gambar fail
KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dan kecewa dengan kejadian serangan bom petrol di cawangan KK Mart di Sungai Isap, Kuantan awal pagi Sabtu.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan Istana Pahang, baginda turut mengecam sekeras-kerasnya kejadian tersebut dan menyifatkannya sebagai satu perbuatan yang menyalahi undang-undang.
Susulan itu, baginda menitahkan supaya pihak polis memberi perhatian serius serta tindakan tegas dan segera dalam perkara tersebut.
Baginda turut menyeru seluruh masyarakat agar tidak mudah terpengaruh dengan naratif perkauman yang boleh mengganggu gugat keharmonian yang dinikmati selama ini.
Baginda mengingatkan semua pihak supaya menghormati proses undang-undang yang diambil oleh Kerajaan berhubung dengan kes penjualan sarung kaki tertera kalimah Allah.
Sehubungan itu, bersempena bulan Ramadan yang penuh barakah ini, paduka baginda menyeru semua rakyat supaya berdoa agar negeri Pahang dan Malaysia sentiasa diberkati dan dirahmati.
#Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah #kk mart #Sultan Pahang #bom petrol
;