Sultan Pahang titah peraturan berkaitan bangunan lama dikaji semula

Bernama
Oktober 22, 2024 17:15 MYT
Al-Sultan Abdullah berangkat mencemar duli melawat tapak kebakaran melibatkan tiga premis kedai di Jalan Besar, Kuantan hari ini. - Foto Bernama
KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah menitahkan agar agensi terlibat agar melihat semula peraturan dan dasar berkaitan bangunan lama bagi mengelakkan tragedi kebakaran yang berisiko meragut nyawa dan memusnahkan harta benda di negeri ini.
Al-Sultan Abdullah bertitah kesemua bangunan atau premis yang usang memerlukan pemeriksaan berkala bagi memastikan ia selamat dihuni.
"Sudah tiba masanya pihak terlibat pergi memeriksa bangunan lama...jika rasa tidak selamat beritahu kerana kita tidak mahu berlakunya tragedi kehilangan nyawa.
"Kita juga perlu buat satu dasar berkaitan bangunan atau premis lama kerana saya bimbang kejadian kebakaran ini berulang di tempat lain dan kejadian baru-baru ini boleh dijadikan pembuka mata kepada pihak pentadbiran," titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat melawat tapak kebakaran tiga premis perniagaan di Jalan Besar di sini hari ini.
Pada Sabtu lepas, tiga premis perniagaan berusia lebih 100 tahun itu yang menjalankan perniagaan karpet, pengurup wang dan barangan runcit musnah dijilat api namun tiada mangsa yang cedera atau kehilangan nyawa dilaporkan.
Al-Sultan Abdullah bertitah pendekatan tersebut amat penting dan perlu diambil perhatian bagi memastikannya setaraf dengan peraturan ketat yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan dan Pejabat Daerah dan Tanah dalam membina bangunan baharu di negeri ini.
"Saya bersimpati terhadap keluarga yang terlibat dengan kebakaran ini tetapi apa pun kita perlulah reda dengan takdir ini.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk bomba yang cepat sampai memadamkan kebakaran. Jika dilihat dalam media sosial, ia agak menakutkan kerana apinya begitu besar," titah baginda.
-- BERNAMA
#Sultan Pahang #Al-Sultan Abdullah #dasar berkaitan bangunan lama #kebakaran #premis usang
;