Sultan Pahang titah isu peniaga Cameron Highlands diselesaikan dengan baik

Bernama
Oktober 13, 2024 14:29 MYT
Sultan Pahang turut menasihatkan agar tiada pihak ketiga cuba mengeruhkan keadaan bagi memastikan sebarang permasalahan yang timbul dapat diselesaikan dengan baik. -Gambar fail/Bernama
KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah agar isu 32 peniaga di Cameron Highlands dapat diselesaikan dengan cara baik.

Ringkasan AI
  • Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar isu 32 peniaga di Cameron Highlands diselesaikan dengan baik.
  • Baginda telah menerima laporan daripada Menteri Besar Pahang dan berpuas hati dengan keputusan kerajaan negeri.
  • Sultan Pahang menasihatkan agar tiada pihak ketiga mengeruhkan keadaan untuk memastikan penyelesaian yang baik.

Kesultanan Pahang menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan isu berkenaan turut berada dalam perhatian baginda dengan semua maklumat berkaitan telah disembah maklum.
"Baginda bertitah telah mendapat laporan daripada pihak Menteri Besar Pahang (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) dan kerajaan berkenaan permasalahan tersebut.
"Baginda berpuas hati dengan laporan yang telah dipersembahkan dan meminta semua pihak akur dengan keputusan kerajaan negeri," menurut hantaran itu.
Sultan Pahang turut menasihatkan agar tiada pihak ketiga cuba mengeruhkan keadaan bagi memastikan sebarang permasalahan yang timbul dapat diselesaikan dengan baik.
Pada 8 Okt lepas, media melaporkan kerajaan negeri mengesahkan menerima laporan berkaitan dakwaan beberapa peniaga di Medan Agro, Cameron Highlands ditindas dengan kadar sewa yang dinaikkan hingga RM7,500 sebulan dan menyiasat aduan berkenaan.
-- BERNAMA
#Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah #Cameron Highlands #peniaga #Sultan Pahang
;