Sultan Pahang terima menghadap KSN di Istana Abdulaziz

Bernama
Januari 31, 2025 06:45 MYT
Al-Sultan Abdullah (kiri) berkenan menerima menghadap Ketua Shamsul Azri di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang, pada Jumaat. - Foto Facebook Kesultanan Pahang
KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar di Istana Abdulaziz, di sini, semalam.
Turut berangkat Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Menurut hantaran di Facebook rasmi Kesultanan Pahang, baginda meluangkan masa kira-kira satu jam bagi membincangkan pelbagai perkara, khususnya berkaitan kemakmuran dan kemajuan negeri serta hal-hal berkaitan rakyat.
Sementara itu, dalam hantaran di Facebook, Shamsul Azri berkata, beliau meneliti setiap pesanan Sultan Pahang mengenai penambahbaikan penyampaian perkhidmatan awam dan bertekad untuk melaksanakan yang terbaik dalam memastikan Reformasi Perkhidmatan Awam berjalan lancar.
Beliau turut mendoakan agar Al-Sultan Abdullah dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, dipermudahkan segala urusan pemerintahan serta terus menaungi rakyat dengan kasih sayang dan kebesaran jiwa.
-- BERNAMA
#Sultan Pahang #ketua setiausaha negara #Istana Abdulaziz #Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah #Shamsul Azri Abu Bakar
;