Sultan Pahang ingatkan ADUN berbahas secara rasional, dahulukan kepentingan rakyat
Bernama
Mei 6, 2024 14:12 MYT
Mei 6, 2024 14:12 MYT
KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya berbahas secara rasional dan berpegang kepada prinsip mendahulukan kepentingan rakyat serta kemakmuran negeri.
Baginda juga mahu supaya semua ADUN agar sentiasa menghayati, melindungi, memelihara dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang dalam setiap hujah yang disampaikan.
"Tahun 2024 merupakan tahun yang penuh bermakna dengan keberangkatan balik beta ke negeri Pahang Darul Makmur yang amat beta cintai dan kasihi.
"Oleh itu, beta berharap Ahli-ahli Dewan dapat menjalankan tanggungjawab dan memberikan komitmen serta mengambil bahagian dalam perbahasan dengan memberikan pandangan yang boleh meningkatkan kemakmuran dan kesejahteraan negeri beta," titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Turut berangkat Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah berharap semua pihak menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan semakan kehakiman pekebun durian Musang King di Raub terhadap keputusan Kerajaan Pahang yang mengeluarkan notis arahan pengosongan tanah.
"Beta berharap Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) tidak gusar dan takut serta akan terus proaktif memperkasakan tindakan penguatkuasaan undang-undang seperti aktiviti rondaan pencegahan, siasatan dan pengumpulan maklumat berkenaan pencerobohan tanah kerajaan," titah baginda.
Selain itu, baginda juga berbangga dengan usaha kerajaan negeri yang memandang serius dalam mengatasi ketirisan hasil negeri yang berpunca daripada kegiatan kecurian hasil bumi dan pencerobohan tanah kerajaan dengan sebanyak RM2.7 juta kompaun dikutip pada 2023 berbanding tahun sebelumnya RM1.5 juta.
Semasa titah Diraja itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan di atas pelbagai pencapaian kerajaan negeri antaranya kejayaan meningkatkan prestasi kutipan hasil melebihi RM1 bilion untuk dua tahun berturut-turut.
Baginda turut berharap kerajaan negeri melipatgandakan produktiviti dan daya saing bagi memastikan prestasi kutipan hasil tahun ini bukan sahaja dapat dikekalkan malah dipertingkatkan sebagaimana yang disasarkan.
Selain itu, baginda menzahirkan ucapan tahniah kepada kerajaan negeri kerana berjaya mengurangkan kemiskinan tegar pada 2023, iaitu daripada 4,968 orang pada Januari kepada 1,946 orang pada Disember dengan pengurangan sebanyak 60.08 peratus.
Bagi meningkatkan usaha membawa pelaburan masuk ke Pahang, baginda menitahkan supaya segala karenah birokrasi yang menyebabkan kelewatan di dalam proses permohonan sama ada di peringkat Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan tidak berlaku.
"Dengan cara ini ia bukan sahaja menjadikan negeri beta sebagai negeri mesra pelabur malah mampu mempertingkatkan tahap kompetensi dan kecekapan semua jabatan serta agensi kerajaan yang terlibat," titah Al-Sultan Abdullah.
Baginda juga bertitah menggalakkan golongan muda ataupun agropreneur muda menceburi bidang pertanian yang antara lain bagi membantu pengeluaran bahan makanan yang berkualiti, mencukupi dan selamat dimakan.
Al-Sultan Abdullah bertitah, sebagai keprihatinan terhadap rakyat, sebanyak 274 Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru'RASA) akan diteruskan pada tahun ini melibatkan peruntukan sebanyak RM25.03 juta, yang turut memberi fokus kepada pemilikan rumah untuk golongan B40 di Pahang.
Menerusi titah Diraja itu, baginda turut menzahirkan penghargaan kepada paduka anakanda Tengku Hassanal yang telah menggalas tanggungjawab sebagai Pemangku Raja selama lima tahun ketika baginda bersemayam di Istana Negara untuk menjalankan tugas Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
-- BERNAMA
#Sultan Pahang
#Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
#ADUN
#berbahas secara rasional