Sultan Pahang dukacita laporan salah sebuah portal

Bernama
Mac 31, 2024 22:10 MYT
Sultan Pahang menzahirkan rasa dukacita berhubung laporan portal berita bertajuk 'Sultan Pahang beri amaran terhadap amalan bawaan PAS'. - Gambar fail/Bernama
KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dan kecewa berhubung laporan sebuah portal berita yang bertajuk 'Sultan Pahang beri amaran terhadap amalan bawaan PAS' yang disiarkan Jumaat lepas.
Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Datuk Yahya berkata baginda bertitah laporan tersebut ternyata bersifat fitnah dan boleh memberikan implikasi negatif sehingga mampu mendorong kepada suasana tidak harmoni dalam masyarakat.
"Paduka Baginda menegaskan bahawa titah Baginda ketika sesi Taklimat Pembangunan Daerah Maran di Akademi Tani Chenor, Maran itu tidak seperti yang dilaporkan portal berita berkenan.
"Kenyataan Paduka Baginda itu tidak ditujukan kepada mana-mana parti politik dan bersifat secara umum. Ia memberi maksud mengingatkan supaya masjid yang merupakan tempat ibadat buat umat Islam sentiasa dipelihara kesuciannya," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata baginda mengingatkan semua pengamal media sama ada media cetak atau media elektronik untuk meneliti dan memperhalusi setiap berita sebelum membuat interpretasi yang boleh menyimpang atau tersasar dari maksud sebenar.
"Etika kewartawanan perlulah dipatuhi pada setiap masa," katanya.
Sementara itu, portal berkenaan sudah mengambil maklum di atas teguran Al-Sultan Abdullah terhadap berita yang disiarkan.
Portal berkenaan juga memohon ampun dan maaf di atas kekhilafan itu dan menarik balik berita bertajuk “Sultan Pahang beri amaran terhadap amalan bawaan Pas” dan memadamkannya dari sistem mereka.
#portal berita #bersifat fitnah #implikasi negatif #rasa dukacita
;