Sultan Nazrin tuntut bangsa Melayu ubah minda supaya bangsa tidak pupus
Bernama
Julai 20, 2018 00:06 MYT
Julai 20, 2018 00:06 MYT
Bangsa Melayu perlu berani melakukan perubahan minda secara radikal dalam mengharungi cabaran landskap negara yang kini telah berubah secara fizikal, sosial, ekonomi dan politik, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Titah baginda, orang Melayu yang gagal melakukan pengubahsuaian minda untuk menghadapi senario baru dalam negara, dibimbangi akan menghadapi nasib kepupusan seperti dinosaur.
"Dinosaur mempunyai tubuh yang besar tetapi minda yang kecil, minda yang tidak berupaya melakukan pengubahsuaian selaras dengan perubahan persekitaran, memilih kekal hidup dengan habitat lama.
"Lalu populasinya mengecil dan akhirnya pupus, yang tinggal hanyalah bahan-bahan fosil dan dipamerkan di muzium dan dijadikan bahan kajian," titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian pada Malam Semarak Perjuangan Sempena Anugerah Tokoh Srikandi 2018 anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di sini, malam ini.
Baginda menegaskan orang Melayu juga memerlukan kaedah perjuangan baharu untuk memastikan kelestarian bangsanya dalam menghadapi iklim baru politik pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), agar mereka tidak tercicir ketika menghadapi Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0) dan kecerdasan buatan (AI).
"Orang Melayu hendaklah pantas mengubah minda, berani memeriksa kesalahan diri sendiri, lalu melakukan penghijrahan minda dan penghijrahan budaya, daripada terus berada di dalam minda penafian untuk menyalahkan orang lain.
"Orang Melayu wajib meneliti realiti semasa, menerima hakikat bahawa telah wujud persekitaran baru di pentas negara dan di pentas dunia. Orang Melayu wajib mencelikkan mata, segera bangun daripada olekan mimpi hari semalam, berani memamah realiti baharu walau sepahit mana sekalipun," tegas baginda.
Dalam pada itu, baginda bertitah bangsa Melayu yang mahu maju dan dihormati, hendaklah berani membuka minda dan tidak membenarkan dirinya menjadi hamba kekayaan dan menjadi abdi kerana tarikan jawatan sehingga menggadaikan prinsip serta kebenaran.
Titah Sultan Nazrin, walaupun bilangan profesional Melayu telah bertambah, namun bilangan profesional Melayu masih berada di belakang, berbanding kaum-kaum lain.
"Pelbagai skandal menyentuh amanah, rasuah dan integriti, dilaporkan semakin berlaku, malah berlaku pada skala yang begitu besar; dilakukan oleh profesional Melayu yang amat bercanggah dengan pegangan agama Islam selain budaya Melayu yang sangat menegaskan aspek-aspek jujur, amanah, harga diri dan maruah.
"Pelbagai ketirisan dan penyimpangan di peringkat pelaksanaan dasar turut mengakibatkan matlamat dan sasaran program ekonomi orang Melayu gagal mencapai sasaran. Kepincangan yang sedang berlaku, menuntut orang Melayu mengakui kesilapan, lalu bertekad, segera melakukan pembetulan," titah baginda.
-- BERNAMA