Sultan Nazrin titah umat Islam perlu bersedia hijrah minda, tenaga

Bernama
Julai 19, 2023 11:26 MYT
Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan titah diraja pada Majlis Sambutan Kemuncak Maal Hijrah 1445H Peringkat Negeri Perak hari ini. -- fotoBERNAMA
IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah umat Islam hendaklah bersedia, malah wajib melakukan penghijrahan minda dan budaya agar berupaya memahami serta mentafsirkan isu-isu semasa daripada pelbagai dimensi, selain bertenaga menangani, menguasai situasi semasa, terutama revolusi teknologi yang sedang pesat berlaku.
Baginda bertitah penghijrahan minda memerlukan minda yang bersedia keluar daripada kepompong kejahilan dan zon keselesaan, selain perlu berani menerokai pengetahuan, kemahiran, medium serta kaedah baharu, yang dirintis selari dengan keperluan zaman.
"Penghijrahan minda memerlukan minda yang dahagakan kemajuan, minda bijaksana, minda yang rasional, minda merdeka yang tidak berjiwa hamba dan minda yang tidak gentar pada perubahan," titah Sultan Nazrin pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1445H Peringkat Negeri Perak di sini hari ini.
Turut berangkat pada majlis itu Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Sultan Nazrin bertitah penghijrahan budaya pula merupakan kesediaan meninggalkan budaya usang dan lapuk, digantikan dengan budaya lebih dinamik yang mencerminkan keluhuran budi, mengamalkan disiplin, memiliki maruah serta harga diri, bersifat amanah, jujur, ikhlas bertunjangkan prinsip dan nilai Islam.
"Penghijrahan adalah suatu jihad dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah akan memperoleh kejayaan dan kemudahan-kemudahan hidup yang lebih baik," titah Sultan Nazrin.
Baginda bertitah cabaran yang semakin rencam dan rumit memerlukan perubahan minda serta budaya yang dapat disesuaikan mengikut tuntutan masa, namun tetap memenuhi nilai tauhid agar manusia tidak terpesong daripada tafsiran hidup sebenar.
Selain itu, Sultan Nazrin bertitah abad ke-21 yang menyaksikan pembangunan teknologi telah mengupayakan manusia merentasi dunia tanpa sempadan, masyarakat perlu melihat dunia dengan lensa lebih terbuka dan minda lebih optimis.
Baginda bertitah umat Islam harus bersedia pada setiap masa untuk mendepani perubahan kerana ia merupakan ketetapan Allah SWT yang pasti berlaku, selain alam dan seisinya turut berubah, bahkan pendekatan, perspektif, wawasan, sistem, visi, misi, konsep, teori dan sebagainya akan terus berubah.
"Kerana itu, penghijrahan ialah suatu manifestasi tuntutan pembaharuan yang diperlukan seiring perubahan tamadun dan zaman," titah Sultan Nazrin.
Pada majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1445H kepada Pengasas Yayasan Pembangunan Masjid Wilayah Bagan Serai, Jurij Sulaiman; selain Anugerah Saidina Abu Bakar (Tokoh Ar-Ridzuan) kepada Pengerusi Masjid Muhammadiah (Masjid Cina) di Ipoh, Datuk Dr Fadzli Cheah Abdullah.
Kedua-dua mereka menerima wang tunai RM15,000, bayaran pakej menunaikan umrah bernilai RM9,000 dan piala iringan serta sijil bernilai RM300.
Sultan Nazrin juga berkenan menyampaikan Anugerah Saidina Ali (Tokoh Belia) kepada Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia Perak, Mohamad Saifuddin Abdul Latif; Anugerah Siti Khadijah (Tokoh Wanita) kepada aktivis masyarakat Dr Umi Kalthum Ngah dan Anugerah Ikon Asnaf kepada ibu tunggal Hasarinawati Abdul Wahab.
Kesemua penerima membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta sijil dan plak bernilai RM150.
-- BERNAMA
#Sultan Nazrin Shah #Penghijrahan minda #Sambutan Maal Hijrah 1445H #Sultan Perak
;