Sultan Nazrin titah siasat program di masjid atas tiket politik

Abd Razak Mohd Ali
Mei 26, 2019 20:44 MYT
Sultan Nazrin menegaskan pemimpin politik di Perak hendaklah memberikan komitmen dan mengambil tanggungjawab untuk memulihara kesucian rumah ibadat umat Islam daripada dicemari dengan kegiatan politik berpuak dan berparti. - Gambar fail
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menyiasat tiga program di masjid dan surau di negeri ini, yang dianjurkan atas nama parti politik, serta penyampaian ceramah agama oleh penceramah yang tidak bertauliah.
Program itu ialah di Masjid al-Khairiah, Kampung Banjar Hilir, Teluk Intan pada 21 Mei, Surau Al-Ittihad Kampung Temiang di sini pada 24 Mei dan di Surau Diri Jumaat Al-Taufiqiah Taman Klebang Jaya, Chemor, pada 22 Mei.
Baginda turut menitahkan Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin melakukan siasatan lengkap ceramah berkenaan untuk dipersembahkan kepada baginda.
Demikian menurut kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat Sultan Perak hari ini, memetik Datuk Pengelola Bijaya Diraja kepada Sultan Perak, Kolonel Datuk Abd Rahim Mohamad Nor.
“Baginda tidak membenarkan sebarang program dianjurkan atas nama parti politik dalam bangunan dan kawasan masjid atau surau.
"Baginda juga menegaskan agar parti politik tidak menjemput penceramah untuk menyampaikan ceramah agama di negeri ini tanpa terlebih dahulu mendapatkan tauliah berceramah daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.
“Jika program ceramah mahu dianjurkan dalam masjid atau surau hendaklah terlebih dahulu mendapat kebenaran pihak berkuasa Agama Islam Negeri Perak.
“Baginda menegaskan bahawa masjid dan surau adalah rumah ibadah, berperanan untuk menyatukan ummah. Jika program atas nama parti politik dibenarkan menular dalam masjid dan surau, dibimbangkan rumah ibadah untuk penyatuan ini akan dicemarkan,” kata Abd Rahim.
Menurutnya, Sultan Nazrin turut memberi perkenan terhadap cadangan Mohd Yusop agar pengerusi jawatankuasa masjid dan surau yang membenarkan premis mereka digunakan untuk aktiviti politik, digantung jawatannya, sementara siasatan dilakukan.
Sultan Nazrin menegaskan pemimpin politik di Perak hendaklah memberikan komitmen dan mengambil tanggungjawab untuk memulihara kesucian rumah ibadat umat Islam daripada dicemari dengan kegiatan politik berpuak dan berparti.
Baginda bertitah, semua enam pemimpin parti politik yang hadir di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, petang semalam, memberikan komitmen menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia, untuk memulihara kesucian masjid dan surau daripada dicemari oleh kegiatan politik berparti.
Setiap seorang memberikan pengakuan akan mengarahkan ahli parti masing-masing untuk tidak lagi menganjurkan program atas nama parti di masjid dan surau, atau merentang sepanduk parti dalam bangunan atau kawasan masjid dan surau atau mengundang penceramah agama berceramah tanpa terlebih dahulu mendapat tauliah berceramah dan kelulusan pihak berkuasa agama Islam negeri.
Berdasarkan laporan media, enam pemimpin berkenaan yang menghadap Sultan Nazrin di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, semalam adalah Menteri Besar yang juga Pengerusi Bersatu negeri, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Pengerusi Amanah, Asmuni Awi; Pengerusi PKR, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Penasihat DAP yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Ngeh Koo Ham.
Pembangkang pula diwakili Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya PAS negeri, Razman Zakaria.
#aktiviti politik #ceramah #Istana Iskandariah #Jabatan Agama Islam Perak #jawatankuasa masjid #kelulusan #masjid #Mohd Yusop Husin #pemimpin #politik berparti #Program #rumah ibadat #sepanduk parti #siasatan #Sultan Nazrin Shah #Sultan Perak #surau #tauliah
;