Sultan Nazrin Shah lancar pameran koleksi foto
Bernama
Mei 4, 2015 14:23 MYT
Mei 4, 2015 14:23 MYT
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berangkat ke Pameran Koleksi Gambar baginda bersempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV di Dewan Bandaran Ipoh di sini, pagi ini.
Baginda dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan menandatangani Buku Bergambar Menyusur Riwayat Sempena Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Perak XXXV sebelum masuk ke dewan pameran.
Pada majlis itu, Sultan Nazrin Shah berkenan melancarkan Pameran Koleksi Gambar, Setem Hari Pertama dan Buku Hikayat Misa Melayu bersempena pertabalan baginda.
Pameran anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Jabatan Penerangan bermula hari ini hingga 4 Jun depan, akan dibuka kepada orang ramai dari 10 pagi hingga 7 malam setiap hari.
Terdapat 14 segmen pameran diketengah pada pameran itu, antaranya Mewarisi Takhta Kerajaan, Dunia Ilmu, Pelbagai Peranan dan Tanggungjawab serta Takhta Disandang Rakyat Disayang.
Berangkat sama pasangan putera puteri baginda, Raja Azlan Muzaffar Shah yang juga Raja Kechil Besar Perak dan Raja Nazira Safya.
Turut berangkat ke pameran itu Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa serta Raja Puan Besar Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, Raja Di-Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris serta Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.
Hadir sama Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman, Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh dan Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab.
Sultan Nazrin Shah dan Tuanku Zara Salim meluangkan masa kira-kira 45 minit melawat pameran itu.
Gelagat putera puteri pasangan diraja itu turut menarik perhatian orang ramai yang hadir pada majlis berkenaan.
Turut dipamer ialah gambar bangunan bersejarah di Perak seperti Istana Iskandariah, Masjid Ubudiah, Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan King Edwards VII di Taiping.
Pameran itu juga menyediakan sudut buku berkaitan institusi diraja yang dibawa dari Perpustakaan Bernama dan Perpustakaan Negeri Perak.
Terdapat ruangan 'permaidani merah' di bahagian luar bilik pameran untuk membolehkan pengunjung bergambar di sebelah gambar besar Sultan Nazrin Shah dan Tuanku Zara Salim.
Pengunjung yang mengambil gambar pada pameran itu juga boleh mencetaknya secara percuma di gerai Bernama sehingga 600 keping sahaja.
Kira-kira 500,000 pengunjung dijangka melawat pameran itu.