Sultan Nazrin sebak tatkala titah penghargaan
Harits Asyraf Hasnan
Mei 2, 2015 19:41 MYT
Mei 2, 2015 19:41 MYT
Suasana majlis pelancaran buku 'His Royal Highness Sultan Nazrin Shah; Reflections and Recollections' berubah wajah apabila semua para hadirin tertunduk sebak tatkala Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah.
Dalam nada sebak, Sultan Nazrin bertitah kejayaan dan kemuliaan baginda hari ini adalah kurniaan Allah SWT.
Titah baginda, individu yang paling utama dalam kejayaannya adalah Almarhum Ayahanda baginda, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah.
Pada nada suara yang sebak serta air mata yang bergenangan, jelas Sultan Nazrin begitu menyanjungi almarhum ayahanda baginda.
Titah penghargaan tersebut bukan sahaja disampaikan di hadapan pembesar-pembesar dan pemimpin negara, malah di hadapan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim dan Bonda Sultan Nazrin, Tuanku Bainun yang turut sama berangkat ke majlis itu.
Suasana bertambah suram tatkala Sultan Nazrin memohon semua hadirin untuk sama-sama membacakan Al-Fatihah agar ganjaran yang dikurniakan Allah disampaikan kepada Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, serta Sultan-Sultan terdahulu, para keluarga dan para guru yang telah kembali ke Rahmatullah.
Sebelum itu, Sultan Nazrin bertitah baginda tidak dapat melupakan peranan dan jasa mereka yang telah membimbing baginda hingga mencapai kejayaan ini seperti para guru di sekolah, para pensyarah di universiti, para ulama dan orang-orang tua, rakan-rakan sekolah, rakan-rakan universiti dan rakan-rakan di tempat bekerja, para orang besar dan pegawai negeri.
Buku tersebut dilancarkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sempena Istiadat Sultan Perak Ke-35.
Buku mengandungi 28 artikel hasil nukilan 30 penulis dari dalam dan luar negara.
Penerbitan buku tersebut khusus sebagai persembahan kenangan daripada kenalan peribadi Sultan Nazrin, termasuk ahli akademik, para wartawan, penggiat sosial dan mereka yang pernah berurusan dengan baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah penerbitan buku ini merupakan usaha menghidupkan semula tradisi hubungan istana dan kesultanan Melayu dengan dunia penulisan dan persuratan.
“Melalui penerbitan ini, para penulis berpeluang merakamkan catatan kasih, semangat kesetiaan dan sembah penghargaan kepada seorang Sultan.
“Ia juga sangat bertepatan dengan watak dan keperibadian intelek Paduka Adinda (Sultan Nazrin), seorang putera raja dan hari ini telah dimasyhurkan sebagai sultan yang amat meminati buku dan dunia persuratan,” titah Sultan Sharafuddin.
Baginda turut perkenan memberi restu kepada usaha penerbitan itu yang dilihat bukan sahaja menghidupkan tradisi malah bertepatan dengan identiti keilmuan yang Sultan Nazrin miliki.
Selain itu, baginda bertitah Sultan Nazrin juga sedang aktif mengusahakan penerbitan semula bahan-bahan yang pernah dihasilkan oleh Raja dan pujangga terdahulu.
Sementara itu, menurut salah seorang penyumbang artikel, Dr Chandra Muzaffar, walaupun beliau tidak mengenali Sultan Nazrin dengan rapat, namun beliau memahami pemikiran baginda.
“Saya kenal baginda dan menghormati baginda sebagai pemikir, seorang yang menghargai ilmu pengetahuan, seorang yang prihatin terhadap masyarakat dan masa depan negara kita, negara Malaysia,” ujar Chandra.
Buat masa ini, buku tersebut akan diedarkan kepada Sultan-Sultan, pembesar-pembesar negeri dan negara serta tetamu yang hadir pada istiadat pertabalan 6 Mei ini.